SELEPAS lebih 65 tahun merdeka, pertanian Malaysia masih dalam acuan yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris. Zaman Inggeris, pertanian untuk perniagaan dimonopoli oleh peladang Eropah.
Mereka menebang tebas hutan rimba yang paling subur dan sesuai untuk menanam getah, kelapa, teh serta kelapa sawit. Orang Melayu digembirakan dan dikhayalkan dengan tanah paya yang diisytiharkan sebagai tanah rizab Melayu untuk pertanian cukup makan.
Bagi membanteras sebarang bentuk persaingan terhadap kepentingan ekonomi perladangan Inggeris, pemilik tanah rizab Melayu hanya dibenarkan menanam padi dan tanaman kontan.
Maka, pendatang Eropah menjadi kaya raya dengan hasil perladangan getah, kelapa, teh dan kelapa sawit, sementara orang Melayu hidup dalam keadaan cukup makan sehingga hari ini.
Malah, apabila tanaman padi dimodenkan dan ramai orang Melayu tanpa tanah dipindahkan ke rancangan-rancangan Felda, keluasan tanah yang diberi kepada mereka masih dalam kategori cukup makan.
Hari ini status ekonomi peneroka Felda yang diuar-uarkan sebagai petani moden telah merosot menjadi ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.
Amalan memfaraidkan dan berkongsi tanah pertanian menyebabkan ramai petani tradisional serta peneroka Felda menjadi bertambah miskin dengan pemilikan tanah tidak ekonomik.
Kita boleh lihat melalui iklan peribadi di sosial media tentang banyaknya tanah milik Melayu yang berukuran kecil ditawarkan untuk dijual. Ia adalah antara manifestasi sempitnya tanah milik Melayu setelah dibahagi-bahagikan mengikut hukum faraid.
Satu lagi, semakin banyak tanah sawah milik Melayu dipajakkan kepada tauke Cina. Banyak cadangan dan rancangan telah dibuat bagi menaikkan produktiviti pertanian tradisional tetapi gagal. Salah satu sebab kerana agensi berkaitan pertanian tidak bersungguh-sungguh, manakala kerajaan takut tindak balas negatif daripada petani.
Alasan yang sering diberikan adalah ia boleh menjejas keterjaminan bekalan beras negara, sedangkan harga beras lebih murah jika dibeli di pasaran antarabangsa.
Ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Jumaat, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara lain dilaporkan berkata, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memajukan tanah terbiar milik masing-masing.
Ia adalah untuk membantu negara mengukuhkan keterjaminan makanan, menangani kenaikan harga barang dan mengurangkan gangguan bekalan makanan.
Perangkaan yang beliau petik mengukuhkan lagi bukti kegagalan kita dalam mengimbangi kegunaan tanah dan mempelbagaikan pertanian. Katanya, pada masa ini hanya 1.2 juta hektar tanah digunakan untuk tanaman makanan, berbanding tujuh juta hektar bagi tanaman kelapa sawit dan getah.
Beliau menambah, Kementerian Pertahanan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan melaksanakan projek bagi meningkatkan pengeluaran jagung. Menurut Anwar, selain meningkatkan keterjaminan makanan, langkah itu memberi peluang kerjaya kepada veteran tentera.
Satu lagi masalah jangka panjang yang Perdana Menteri sendiri wajib beri perhatian adalah pemilikan tanah pertanian. Banyak tanah pertanian, khususnya yang dikerjakan oleh orang Melayu miskin tidak mempunyai geran.
Ada yang dipugar tanah kerajaan ini sebelum merdeka lagi. Inilah antara punca kemiskinan pekebun kecil getah di Baling, Kedah yang mengilhamkan Anwar untuk menganjurkan tunjuk perasaan pada 1974. Kini muncul pula pekebun sayur dan durian yang menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Saya telah sarankan agar Anwar serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengharung lumpur bagi mengetahui dan mengatasi masalah pertanian negara. Jangan dengar cakap pegawai sahaja, cakap petani sama pentingnya.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca