SUDAH menjadi pengetahuan umum bahawa kehadiran platform digital global seperti Google, Facebook, Yahoo, TikTok dan lain-lain di alam maya telah menyediakan sumber tambahan bagi khalayak di negara ini mendapatkan kandungan berita serta pelbagai maklumat diperlukan untuk melengkapkan diri mereka dengan perkembangan semasa yang berlaku di persekitaran mereka.
Jika kajian oleh Reuters Institute for the Study of Journalism bagi tahun 2022 boleh dipercayai dan tepat, 52 peratus pengguna di Malaysia mendapatkan maklumat berita daripada Facebook, sementara Google pula muncul sebagai sumber carian maklumat utama.
YouTube, Instagram, TikTok dan Telegram turut tersenarai sebagai media sosial yang punya pengikut agak besar di negara ini. Perkhidmatan portal berita tempatan, tiada pilihan kecuali perlu bersaing dengan platform digital global itu bukan sahaja dari segi mendapatkan audiens tetapi lebih penting untuk mendapatkan kek agihan perbelanjaan pengiklanan atau advertisement expenditure (ADEX) untuk pasaran kita, setahun dianggarkan tidak sampai RM5 bilion itu.
Atau lebih tepat lagi kuantumnya seperti dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fazil kepada sekumpulan wartawan Indonesia pada 7 Februari lalu adalah sekitar AS$1 bilion. Mengikut kadar tukaran sekarang, AS$1 bilion itu bersamaan RM4.4 bilion.
Dari segi mendapatkan kepercayaan khalayak tempatan, pelbagai jenama portal berita Malaysia seperti dinyatakan dalam tinjauan Reuters Institute itu tidaklah ketinggalan sangat. Portal Sinar Harian misalnya, berada di tangga keempat sebagai jenama yang dipercayai oleh pengguna berita dan maklumat selepas Astro Awani, the Star dan Malaysiakini.Tetapi dari segi mendapatkan perbelanjaan pengiklanan, media atas talian Malaysia masih terkial-kial. Fahmi sendiri mengakui tiga per empat atau 75 peratus ADEX Malaysia bernilai lebih RM4.4 bilion setahun itu dibolot oleh Goggle, TikTok dan Meta, pengendali Facebook.
Sekiranya keupayaan Google, Facebook dan platform digital global yang lain membolot sebahagian besar ADEX Malaysia itu berpunca daripada paparan kandungan berita asli ciptaan mereka sendiri, pencapaian itu memang tidak patut dipersoalkan.
Mereka layak dan berhak untuk mendapatkannya. Tetapi hakikatnya kebanyakan berita dan maklumat platform digital global yang diakses pengguna berita di tempatan merupakan kandungan editorial dihasilkan organisasi media profesional kita yang dicedok tanpa membayar pampasan atau imbuhan kepada pencipta asal bahan-bahan tersebut.
Dengan kata lain, apa yang berlaku di sini adalah dengan menggunakan kandungan berita yang dihasilkan dengan pembiayaan yang tinggi oleh media Malaysia, platform digital global itu meraih keuntungan lumayan.
Namun, di negara-negara lain, tindakan mula diambil oleh kerajaan masing-masing untuk menjaga kepentingan media dan kewartawanan tempatan, yang kandungan berita mereka digunakan oleh syarikat-syarikat teknologi gergasi untuk dipaparkan dalam media sosial masing-masing.
Misalnya, di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) diperkenalkan undang-undang tata kelola hak cipta yang mewajibkan platform digital membayar pampasan kepada penerbit benua itu bagi kandungan berita digunakan berdasarkan formula tertentu dengan mengambil kira kos yang dibelanjakan untuk menghasilkan kandungan berita tersebut.
Di Australia diperkenalkan – News Media and Digital Platforms Mandatory Bargaining Code untuk menguruskan hubungan komersial antara bisnes berita negara itu dengan platform-platform digital yang mendapat faedah agak ketara dari segi pendapatan pengiklanan berikutan paparan kandungan berita dihasilkan oleh organisasi media tempatan.
Undang-undang yang dikuatkuasakan pada 21 Mac 2021 membolehkan media – besar dan kecil – di Australia mendapat pampasan serta imbuhan sebanyak 200 juta dolar Australia setahun mulai 2022 daripada Google dan Facebook untuk membiayai 25 peratus kos gaji kewartawanan dalam organisasi media yang menerima bayaran tersebut.
Justeru, sudah tiba masanya Malaysia juga memperkenalkan undang-undang yang sama bagi mewajibkan platform digital global membayar pampasan bagi penggunaan kandungan berita yang dihasilkan oleh organisasi profesional tempatan.
Bagi memudahkan pelaksanaannya, satu kerangka perundangan hendaklah diwujudkan oleh Parlimen terlebih dahulu.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca