SERING ramai menyalahkan Islam apabila berlaku sesuatu perkara tidak baik. Ada mendakwa Islam menindas dan menghalang pembangunan. Ada juga mengaitkan Islam dengan terorisme dan keganasan.
Malah, ada tidak segan silu mengatakan jika mengamalkan Islam, maka kita tidak akan maju atau mengecapi kejayaan. Tanggapan itu sebenarnya hasil daripada mereka yang gagal melihat keindahan Islam disebabkan orang Islam sendiri tidak mengamalkan agama Islam sebagai sebuah tata kehidupan.
Islam menggariskan panduan lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar daripada matlamat mencari keredaan ALLAH serta ibadah kepada Pencipta.
Islam amat menekankan pembangunan modal insan berasaskan ciri-ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim kerana manusia sebaik-baik ciptaan ALLAH, khalifah yang diberi kelebihan serta kekuatan ilmu.
Inilah sebabnya Islam mengambil berat peranan moral atau akhlak dalam pembentukan sahsiah diri. Hatta, dalam soal perbezaan pendapat pun, Islam telah menggariskan adab yang perlu diikuti.
Namun, menyedihkan sekarang ini kerana kita melihat umat Islam tidak menjadi teladan kepada orang lain. Sebahagian umat Islam tidak memiliki akhlak mulia atau menjadi idola kepada orang lain. Lebih dahsyat lagi, umat Islam ketinggalan pelbagai bidang kerana mereka meninggalkan agama dalam kehidupan mereka.
Natijahnya, kesemua perkara dilihat hanya daripada lensa Barat dan mengetepikan panduan serta syariat yang telah digariskan Islam. Bagi menjadi bangsa yang kuat, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan keperibadian unggul. Ciri keperibadian unggul itu pernah diperincikan oleh Hassan Al Banna, yang juga seorang pemikir Islam.
Menurut Hassan Al Banna, terdapat sekurang-kurangnya 10 ciri yang jitu lagi mantap, saling melengkapi bagi menonjolkan kecemerlangan sahsiah Islam.
Antaranya akidah yang bersih – menjadi teras kepada pembangunan modal insan sebenar. Dengan adanya akidah yang mantap, sudah pasti umat Islam tidak akan ‘tergelincir’.
Akhlak mulia juga merupakan elemen penting, selain kekuatan jasmani yang tidak boleh dikesampingkan. Daya tahan yang kuat sehingga dapat melaksanakan tuntutan agama yang optimum amat diberi perhatian dalam Islam. Kekuatan jasmani juga adalah pencegahan kepada pelbagai penyakit. Kekuatan jasmani akan menjamin kecerdasan berfikir.
Kecerdasan berfikir akan membawa kepada intelektualisme. Seorang intelek merupakan aset kepada masyarakat. Seorang Muslim perlu memiliki wawasan yang luas dan kemampuan inteleknya tidak harus diragui oleh orang lain.
Tekad untuk berjuang melawan hawa nafsu juga adalah kelebihan bagi membentuk peribadi Muslim. Pandai menjaga waktu pula faktor penting bagi manusia, khususnya kepada orang Islam.
Bersungguh-sungguh, bersemangat dan berkorban melakukan sesuatu urusan akan menjadikan perkara itu akan dapat dijayakan dengan cemerlang.
Kejituan diri mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya hanya boleh dilakukan jika kita memiliki kemampuan serta kekuasaan dari segi pengetahuan, ekonomi dan sebagainya.
Seseorang Muslim perlulah berusaha menjadikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Jika pun tidak memegang jawatan tinggi, sekurang-kurangnya kita boleh bermanfaat kepada ahli keluarga dan sahabat-handai. Kesemua ciri disebutkan adalah ciri-ciri yang telah digariskan Hassan Al Banna bagi membangunkan modal insan.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca