PERJALANAN politik bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya amat menarik dan penuh warna-warni.
Mula menyertai UMNO dan menjadi wakil rakyat pada usia agak lewat iaitu 55 tahun, bekas Presiden parti selama 22 tahun itu juga pernah dipecat dan keluar daripada parti utama kaum Melayu itu sebanyak tiga kali.
Kali pertama beliau keluar UMNO setelah dipecat parti itu pada 26 September 1969, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut bertindak keluar parti kali kedua pada pada tahun 2008 semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu kemudiannya telah keluar parti kali ketiga pada tahun 2016 susulan tidak berpuas hati dengan Najib mengenai skandal 1MDB.
Tidak berpaling ke belakang, beliau kemudiannya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2016.
Selepas itu, beliau terus mencipta sejarah apabila berkolaborasi dengan dua musuh ketatnya yang ketika itu menerajui Pakatan Harapan (PH) iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sebelum terpilih menjadi Perdana Menteri kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Panas bagaimanapun tidak sampai ke petang apabila beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020, sekali gus menyebabkan kerajaan PH jatuh dan digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin yang juga bekas sekutunya.
Menuduh Muhyiddin dan sebilangan pemimpin Bersatu khianat terhadapnya selepas peristiwa Langkah Sheraton, Dr Mahathir kemudiannya bertindak keluar Bersatu dan menubuhkan pula Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Kini setelah Pejuang dan GTA 'bungkus' pada PRU15 dengan beliau sendiri hilang deposit bertanding mempertahankan Parlimen Langkawi, Dr Mahathir terus mencipta kontroversi.
Beliau keluar pula daripada parti baharu itu setelah dikatakan 'bergaduh' dengan anaknya sendiri, Datuk Seri Mukhriz dan kini sedang mempertimbangkan hasrat menyertai satu lagi parti ultra Melayu iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Dengan usianya kini mencecah 97 tahun, ramai pemerhati politik mempersoalkan bila Dr Mahathir hendak bersara dan adakah beliau akan terus berpolitik sehingga usia 100 tahun?
PENCANDU POLITIK
Hakikatnya terdapat banyak faktor mungkin melingkari keazaman dan iltizam tokoh negarawan terulung negara itu untuk terus berkhidmat dalam bidang politik.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan tekad berpolitik hingga akhir hayat itu mungkin datangnya daripada diri Dr Mahathir yang diketahui sangat kuat bekerja serta dianggap 'pencandu politik'.
"Ada pakar psikologi berpandangan jika individu itu menjalani kehidupan aktif dan tidak meneruskan rutin seharian yang sama selepas usia tua, ada kemungkinan aspek kesihatan Dr Mahathir akan terjejas jika beliau memilih tidak aktif selepas bersara.
"Dr Mahathir yang merupakan seorang hiperaktif, pastinya mempunyai kitaran dan pemikiran sama. Selain itu, beliau juga ketagih mencatur dunia politik kerana negarawan itu terbukti masih dianggap antara pemikir negara terhebat," katanya kepada Sinar Premium.
Langkah kontroversi terkini Dr Mahathir yang berkemungkinan menyertai Putra juga menguatkan lagi jangkaan yang beliau mampu terus berpolitik sehingga usia 100 tahun dan tidak akan sesekali mempertimbangkan persaraan.
"Saya ingat bila GTA dan Pejuang kalah teruk dengan Dr Mahathir sendiri hilang deposit, beliau akan berfikir untuk bersara tetapi pandangan saya itu meleset.
"Dengan Putra mungkin citra politik terakhir beliau, saya lihat kekentalan jiwa Tun terhadap politik sangat kuat kerana kasih sayangnya terhadap bangsa Melayu sangat menebal.
"Mungkin dari sudut kaca mata Tun, beliau mahu melihat kedudukan lebih bermaruah dicapai bangsa Melayu, namun idea itu masih tidak tercapai lebih-lebih lagi setelah perpecahan parti-parti Melayu semakin parah pasca PRU14," ujar Hisommudin lagi.
Pandangan Hisommudin itu turut disokong bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.
Bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu melihat Dr Mahathir terus kekal berpolitik kerana beliau mahu mencari jalan memastikan kuasa politik negara kembali diperolehi orang Melayu.
SAYANG MELAYU MASIH MENEBAL
"Selain beliau diketahui sangat ketagih berpolitik, Dr Mahathir masih mempunyai jiwa kuat untuk melestarikan politik Melayu Islam yang mungkin dianggapnya agak terhakis pasca PRU15.
"Saya hormat semangat dan kesungguhan beliau untuk terus berpolitik hingga akhir hayat, namun saya nasihatkan Dr Mahathir untuk berehat dan mewariskan semangat perjuangan politiknya kepada pemimpin pelapis baharu dalam mendasari perjuangan Melayu Islam," tegas Mohd Redzuan.
Sementara itu, penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berpendapat Dr Mahathir harus membebaskan dirinya daripada landskap politik supaya imej negarawan akan terus kekal subur dalam pemikiran rakyat.
KEKALKAN IMEJ NEGARAWAN
Jelasnya, Dr Mahathir hakikatnya sudah memberikan sumbangan politik maksimum setelah terpilih sebagai Perdana Menteri kali kedua pada tahun 2018.
"Namun pengaruh dan populariti beliau merosot teruk setelah memilih meletak jawatan secara mengejut.
"Semua orang semakin kurang faham dengan tindak-tanduk Tun M. Bagi yang menerimanya sebagai negarawan, kalau boleh kita harapkan beliau terus bersara supaya negarawan hebat ini terus diingati sebagai Bapa Pembangunan Negara berbanding bapa perpecahan politik.
"Dengan usia menjangkau 100 tahun, saya yakin pengaruh beliau semakin merosot, ibarat jatuh merudum daripada Air Terjun Niagara.
"Bagi saya, meniti hari-hari terakhir hayat beliau, lebih baik Tun M menjadi penulis bidang politik dan polisi awam kerana beliau terbukti masih memiliki mata pena tajam," katanya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca