SHAH ALAM - Beberapa menteri yang menjadi pilihan rakyat bertekad untuk terus menabur bakti demi kesejahteraan seluruh penduduk di Malaysia. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau mahu lebih ramai rakyat dapat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa menteri yang menjadi pilihan rakyat bertekad untuk terus menabur bakti demi kesejahteraan seluruh penduduk di Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau mahu lebih ramai rakyat dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam.

"Sebagai Menteri Pengangkutan, antara tugas terbesar adalah meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, memperluaskan lagi rangkaian rel dan bas serta menambah baik permulaan atau akhir perjalanan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau turut berterima kasih terhadap galakan dan dorongan rakyat Malaysia kepada Kerajaan Perpaduan.

"Di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pasukan kabinet akan terus berusaha untuk memperjuangkan kesejahteraan rakyat selaras dengan konsep Malaysia Madani.

"Saya berharap rakyat boleh menyokong perpaduan dan kestabilan politik demi kebaikan negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kementeriannya akan terus meletakkan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara sebagai tujuh fokus utama.

"Antaranya, perkhidmatan asas seperti jalan rata, lampu jalan terang, longkang bersih, tandas awam bertaraf BMW (bersih, menawan dan wangi) dan bomba yang cekap.

"Bukan itu sahaja, rumah mampu milik berdaya huni dan mesra alam serta khidmat pihak berkuasa tempatan yang responsif adalah antara hala tuju kami menuju ke sasaran menjelang akhir tahun 2023,” katanya.

Beliau menzahirkan rasa syukur kerana diberi pengiktirafan sebagai salah seorang menteri yang mendapat tempat dihati rakyat.

"Dengan perasaan penuh tawaduk dan rendah hati, saya terharu kerana lebih 35,000 orang responden memberi kepercayaan kepada saya khususnya Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk berada di kedudukan lima menteri terbaik dalam skor rakyat 100 hari Kerajaan Perpaduan.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga KPKT yang telah berusaha gigih dan memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat selaras dengan prinsip Malaysia Madani,” ujarnya.

Tambah Kor Ming, tanpa kerja keras KPKT, tidak mungkin beliau dapat mencapai sasaran dan objektif yang telah kementerian tetapkan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula berkata, lebih banyak reformasi bakal dilaksanakan untuk mencapai matlamat rakyat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Tambah beliau, ia merupakan satu tanggungjawab setelah dilantik sebagai menteri KBS untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca