SEJAK detik bersejarah Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri ke-10 di bawah Kerajaan Perpaduan tahun lalu, segala tindak-tanduk Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menjadi sorotan masyarakat.
Bergantung dengan situasi semasa, ada masanya Anwar dikritik, ada kalanya beliau turut 'dilambung' tinggi.
Namun kaji selidik mega sebuah firma penyelidikan bersama lima media arus perdana jelas membuktikan populariti Anwar kekal utuh pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah disenarai antara lima pemimpin paling popular dalam barisan jemaah menteri.
Berdasarkan hasil kajian data Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan hasil kolaborasi O2 Research Malaysia bersama Sinar Harian, Awani, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban, Anwar berada di tangga kedua dalam segmen penarafan populariti menteri-menteri kabinet.
Tinjauan tersebut melibatkan sejumlah 10,085 daripada keseluruhan 35,000 responden di seluruh negara mencakupi pelbagai segmen termasuk isu negara dan keprihatinan rakyat, keadaan semasa, ekonomi negara serta skor pemimpin dan institusi.
Menariknya, senarai 'top 5' penarafan jemaah menteri didahului Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dengan 49 peratus, diikuti Anwar di tempat kedua dengan 40 peratus.
Seterusnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di tempat ketiga dengan 39 peratus; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, 34 peratus dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menduduki tempat kelima dengan 33 peratus.
Ketua Penyelidik O2 Research, Anis Anwar Suhaimi berkata, walaupun Anwar berada di kedudukan kedua, ia bukan bermakna Perdana Menteri itu kurang disukai oleh rakyat.
"Sebaliknya bidang tugas Anwar sebagai Perdana Menteri adalah lebih besar, justeru lebih banyak isu semasa perlu diberi tumpuan dan perhatian segera oleh beliau,” katanya.
Anthony Loke pula mendapat peratusan tinggi kerana Setiausaha Agung DAP itu tidak terpalit kontroversi politik dan dilihat lebih responsif terhadap cabaran berkaitan bidang tugasnya.
"Profesionalisme beliau (Anthony Loke) sebagai seorang menteri berbanding sebagai ahli politik menjadi kelebihan untuk dirinya lebih mudah diterima dengan positif berbanding menteri yang lain,” katanya lagi.
Sebelum ini, tindakan Ahli Parlimen Seremban berkenaan membuat tinjauan mengejut bagi merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) ketika waktu puncak mendapat pujian ramai.
Hasil data tinjauan itu juga mendapati sebilangan besar menteri DAP mendominasi senarai 'top 5' menteri paling popular.
Senario itu turut memberi indikasi majoriti besar masyarakat bukan Melayu berpuas hati dengan prestasi parti tersebut, justeru meletakkan mereka ke tangga teratas dengan tambahan sokongan orang Melayu.
Kemampuan Kor Ming yang dianggap salah seorang menteri kontroversi DAP untuk berada di tempat ketiga misalnya, membuktikan imej parti berkenaan dilihat lebih bersederhana dalam memenuhi kehendak pengundi Melayu sejak diterajui Anthony Loke.
Sementara itu, Hannah Yeoh dan Azalina merupakan tokoh pemimpin wanita yang dilihat menyerlah dan proaktif dalam gerak kerja mereka.
"Imej mereka yang menumpukan isu-isu sosial khususnya wanita, berbanding isu-isu politik dan etnik yang membolehkan masyarakat rentas etnik selesa dengan pembawaan mereka turut menjadi faktor utama Hannah dan Azalina popular,” ujar Anis Anwar.
Katanya, senarai penarafan menteri itu turut boleh diterjemahkan sebagai bukti dominasi pemimpin otai berbanding pemimpin muda di tangga teratas disumbangkan oleh faktor populariti mereka dalam arena politik sejak sekian lama selain pengalaman dalam kerajaan sebelum ini.
"Imej politik telah lama terbina turut membantu tahap penerimaan rakyat berbanding pemimpin baharu lain yang sedang menempa nama dan berusaha membuktikan kualiti dan kebolehan masing-masing," katanya.
Kapten kabinet
Berbalik kepada Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau dianggap sebagai kapten atau pengemudi barisan kabinet yang bertanggungjawab memastikan semua gabungan parti terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergerak sebagai satu pasukan.
"Anwar cuba untuk memastikan apa sahaja yang diusahakan kerajaan adalah hasil konsensus bersama semua parti.
"Beliau kekal menjadi peneraju kepada semua anggota kabinet selain turut bertanggungjawab atas semua keputusan dan tindakan,” ujar Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian.
Jelasnya, Anwar dan kerajaan diterajui tidak akan tergugat selagi beliau mengekalkan sokongan dua pertiga kerusi Dewan Rakyat yang diperoleh pada hari pertama sidang Parlimen pada 19 Disember 2022.
Demi memantapkan lagi kedudukan beliau, Sivamurugan turut berpandangan Anwar perlu memastikan agenda Malaysia Madani berteraskan kepada soal sejahtera, keadilan dan saksama serta inisiatif merancakkan ekonomi dengan nilai pentadbiran yang telus dan amalan baik berjalan lancar.
"Keyakinan dan kepercayaan yang dibina terhadap barisan Kabinet beliau, jika sarat dengan pelaksanaan dan pemantauan yang berterusan, akan membolehkan kerajaan sedia ada mendapat sokongan seluruh lapisan masyarakat,” ujarnya.
Jelasnya, penarafan jemaah menteri boleh dijadikan panduan tanpa mewujudkan persaingan siapa wajar berada di dalam kedudukan teratas.
Sivamurugan turut berpendapat inisiatif itu membolehkan anggota lain menzahirkan hubungan saling lengkap melengkapi dengan koordinasi bersama sebagai satu pengurusan.
Klik di sini untuk terus membaca