SHAH ALAM - Tidak guna ramai pemimpin UMNO bertanding pemilihan parti penggal 2023-2026 jika sekadar mahu menjaga kepentingan diri, mengikut telunjuk pihak tertentu serta mempunyai tujuan tidak baik bagi memecahbelahkan parti. Penyandang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak guna ramai pemimpin UMNO bertanding pemilihan parti penggal 2023-2026 jika sekadar mahu menjaga kepentingan diri, mengikut telunjuk pihak tertentu serta mempunyai tujuan tidak baik bagi memecahbelahkan parti.

Penyandang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, pada saat parti dalam keadaan sangat lemah tetapi masih berada dalam kerajaan, beliau melihat senario penyertaan ramai pemimpin UMNO untuk bertanding pemilihan parti atas dasar positif mahu membantu parti.

Dengan persaingan pemilihan UMNO kali ini diharapkan lebih sihat dan bersifat kekeluargaan, Fathul Bari turut menggesa mana-mana pemimpin yang bertanding benar-benar membentangkan idea dan perancangan bagi mengukuhkan perpaduan parti.

"Datang ramai-ramai untuk bertanding pemilihan kali ini, saya yakin mereka ada perancangan untuk membawa satu kebaikan dan mahu memberi khidmat bakti sebagai membalas jasa parti terhadap diri masing-masing.

"Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ada yang kata berlaku perpecahan antara team A dan team B. Saya tidak anggap perbezaan pendapat satu bentuk perpecahan. Pucuk pimpinan UMNO sendiri pun selalu berbeza pendapat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

"Cuma saya minta sangat sambutan ‘raya’ pemilihan UMNO kali ini biar berjalan dengan aman dan tidak berlaku sebarang kecelakaan tidak diingini. Semua kena ingat jawatan adalah satu amanah diberikan ALLAH SWT di mana kuasa dipegang perlu digunakan bagi menjaga kepentingan rakyat dan parti,” jelas Fathul Bari yang bakal bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar dan mempertahankan posisi ahli MKT kali ini.

Sementara itu, seorang lagi penyandang MKT UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menuntut ahli-ahli parti menolak sebarang persepsi negatif membayangkan kononnya pemilihan kali ini menjadi medan pertembungan ‘panas’ kem pro Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kumpulan menolak kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, senario penyertaan ramai pemimpin UMNO dalam pemilihan kali ini hakikatnya disebabkan proses itu telah tertangguh lama sejak tahun 2021.

"Ramai dalam kalangan pemimpin Pemuda dan Puteri UMNO yang sepatutnya masih layak bertanding jawatan sayap parti berkenaan sekiranya pemilihan dibuat tahun 2021, kini sudah lebih syarat usia dan perlu bertanding jawatan lebih tinggi.

"Sebab itu penyertaan bagi merebut jawatan ahli MKT kali ini sangat ramai, begitu juga keadaan bagi jawatan sayap-sayap parti dan ketua UMNO bahagian di mana keterujaan pemimpin untuk kembali bertanding dalam pemilihan selepas tertangguh begitu lama.

"Jadi dakwaan ramai pemimpin bertanding sebab ada pertembungan dua kem tidak betul,” ujar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu lagi.

Klik di sini untuk terus membaca