UNITED Kingdom (UK) terus menjadi tumpuan manusia seluruh dunia. Daripada yang datang melancong sehinggalah bermastautin di negara empat musim ini.
Dapat berada di UK juga seolah-olahnya terjumpa lombong emas. Sehinggakan sesiapa yang berpeluang datang belajar ataupun bekerja di sini dianggap paling beruntung berbanding yang lain.
Orang Malaysia juga tidak ketinggalan menyumbang kepada 1.34 juta imigran di UK. Malah, sejak zaman sebelum merdeka lagi, UK terus menjadi destinasi pilihan orang kita untuk berhijrah, selain Singapura dan Australia.
Jika zaman dulu Liverpool menjadi tempat tinggal kelasi dari Tanah Melayu, kini Manchaster dan Bayswater, London juga sudah seperti ‘kampung Malaysia’.
Tapi orang Malaysia yang datang ke UK ini bukanlah calang-calang juga. Selain berniaga, kebanyakan mereka adalah pekerja berkemahiran seperti doktor, penyelidik dan pensyarah.
Malah sejak Kerajaan UK meningkatkan kuota visa kepada pekerja sektor kesihatan, doktor muda dari Malaysia mula menjenguk peluang berhijrah ke sini.
UK seperti memberi jalan keluar kepada hartal doktor kontrak kita yang sudah lama kebuntuan. Tidak mustahil jika suatu hari nanti orang Malaysia yang memonopoli profesion doktor dan pakar perubatan di UK ini.
Bagi yang sedang belajar di sini pula, andai mereka tidak terikat dengan kontrak penaja, tentu saja mereka memilih untuk terus menetap di UK.
Sehinggakan ramai yang sanggup bekerja separuh masa sambil mengikat perut demi mengumpul modal visa untuk bekerja di UK selepas tamat belajar.
Tak kurang juga yang sanggup meninggalkan kesenangan, harta dan pangkat besar di Malaysia, demi sebuah kehidupan baharu di UK. Walaupun itu bermakna mereka perlu bermula dari bawah dalam tangga kerjaya.
Jika ditanya rakyat Malaysia yang bermastautin di sini, alasan mereka berhijrah masih sama sejak berdekad dulu iaitu mahu kuasa membeli yang baik, padanan kerja dengan kemahiran yang dimiliki, peluang penyelidikan yang luas, suasana kerja yang telus, work-life balance dan sistem pendidikan terbaik buat anak-anak.
Semua ini tentulah sebuah kehidupan yang ideal buat sesiapa saja.
Sebenarnya, penduduk asal UK sendiri pastilah tidak senang melihat negaranya dibanjiri orang asing yang dilihat cuba menumpang kesenangan yang diusahakan nenek moyang mereka.
London misalnya, dari sebuah kota kebanggaan White British suatu ketika dahulu, kini hampir disapu bersih oleh orang asing. Sebab itu kita tak terasa pun seperti sedang berada di negara ‘mat saleh’ ketika di London.
Ini juga antara sebab utama UK meninggalkan kesatuan Eropah. Malangnya meskipun setelah Brexit, isu kemasukan pendatang asing terutama pelarian masih saja berterusan.
Atas desakan rakyat, Perdana Menterinya yang bukan juga berketurunan Anglo Saxon, baru-baru ini telah mengetatkan kawalan di sempadan UK. Kapasiti penguatkuasaan juga ditingkatkan bagi memastikan isu pekerja haram lebih giat dibanteras.
Namun nampaknya, usaha tersebut belum mampu mematahkan semangat mereka untuk datang ke UK.
Anehnya, walaupun dilanda krisis ekonomi yang memburuk, kadar mata wang yang menyusut dan kadar inflasi yang meningkat, UK masih terlihat seperti syurga duniawi yang berbaloi dikejar. Sedangkan kalau diikut situasi ekonomi, Malaysia misalnya, terus menyaksikan perkembangan yang jauh lebih positif berbanding UK.
Apa kurangnya Malaysia berbanding UK?
Sebenarnya, imigrasi adalah fenomena biasa sejak dahulukala lagi. Kini, sekurang-kurangnya 214 juta penduduk dunia berstatus international migrants dan angka ini dijangka terus meningkat.
Bangsa Melayu Nusantara sendiri sudah berkurun lamanya berlayar dan menetap di seluruh dunia.
Para sarjana yang mengkaji tentang imigrasi ini sering merujuk kepada push and pull theory.
Manusia berhijrah kerana kondisi tempat asalnya ‘menolak’ ia untuk keluar manakala kondisi tempat destinasinya ‘menarik’ ia untuk masuk.
Jadi, tidaklah perlu kita terlalu hairan andai semakin ramai orang cerdik pandai kita memilih untuk berhijrah ke UK.
Tidaklah pelik juga andai usaha Kerajaan Malaysia untuk membawa mereka pulang bekerja di tanah air tidak pun ke mana.
Tapi mereka juga bukanlah kacang yang lupakan kulit atau sedang kejarkan pinggan Port Meirion atau Royal Albert semata-mata. Mereka hanya berjuang mendapatkan hak untuk hidup yang lebih baik.
Kalau kita tidak mahu terus kehilangan permata kita kepada UK, mungkin kita perlu berusaha lebih keras untuk menangani push factor dan mencipta pull factor sebaik UK juga.
Jika tidak, 50 tahun mendatang akan kekal seperti 50 tahun yang telah berlalu. Yang terbaik akan terus meninggalkan kita.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College, London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena, Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca