SHAH ALAM - Usul pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani untuk sektor pendidikan ibarat memberi ‘nyawa baharu’ kepada golongan guru susulan penekanan dua aspek pemulihan dan penyediaan infrastruktur pendidikan yang mampan. Pakar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Usul pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani untuk sektor pendidikan ibarat memberi ‘nyawa baharu’ kepada golongan guru susulan penekanan dua aspek pemulihan dan penyediaan infrastruktur pendidikan yang mampan.

Pakar pendidikan dari Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, peruntukan untuk sektor pendidikan yang masih kekal sebagai segmen terbesar belanjawan bernilai RM55.2 bilion, turut memberi jaminan penyediaan infrastruktur lebih berkualiti dan baharu untuk keselesaan para pelajar dan guru.

"Jika diteliti, sebanyak RM2.3 bilion telah diperuntukkan secara khusus untuk menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pembelajaran di semua sekolah di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, RM920 juta dikhususkan untuk menaik taraf segera bangunan dan infrastruktur di 380 buah sekolah yang daif khususnya di Sabah dan Sarawak,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Tambah Anuar, sejumlah RM900 juta lagi diperuntukkan untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan di semua jenis sekolah bagi kerja pembaikan tandas, pendawaian elektrik sistem saliran sekolah serta penggantian kerusi meja, peralatan murid-murid di bilik darjah serta perabot asrama uzur.

"Kementerian Pendidikan (KPM) dicadangkan supaya menggunakan sebahagian kecil peruntukan ini untuk penyediaan perabot dan kerusi meja kerja demi kemudahan di bilik guru,” katanya lagi.

Terdahulu, pembentangan Belanjawan 2023 yang menelan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM388.1 bilion dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM289.1 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Dalam pada itu, bagi mencapai matlamat pendidikan mampan, Anuar turut menyambut baik inisiatif penyediaan 50,000 buah komputer riba kepada semua sekolah di seluruh negara.

"Tentu sahaja penyediaan komputer riba ini akan membantu proses pengajaran guru yang menekankan elemen pengajaran dan pembelajaran (PdP) berasaskan pendigitalan pendidikan.

"Bagi meningkatkan fungsi sekolah sebagai tempat murid-murid mendapat pengalaman pembelajaran, inisiatif kerajaan akan membina dewan terbuka di sekolah-sekolah bagi keselesaan untuk murid-murid berhimpun dan berkumpul serta melakukan berbagai aktiviti pembelajaran dan ko-kurikulum di luar bilik darjah juga satu langkah bagus,” kata Anuar lagi.

Tambah beliau, Belanjawan 2023 untuk sektor pendidikan tidak lagi menyediakan peruntukan untuk projek khas bersifat ‘tempelan’ seperti yang pernah dilakukan kerajaan terdahulu.

"Misalnya sistem pendidikan kita pernah mempunyai projek atau program khas seperti RIMUP, LINUS dan sebagainya yang diberikan peruntukan khas dalam peruntukan pendidikan.

"Sebaliknya, Belanjawan 2023 di bawah kerajaan perpaduan lebih fokus untuk pemulihan keciciran pembelajaran dengan menyelesaikan isu sekolah daif dengan segera,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca