SHAH ALAM - Menaikkan gaji penjawat awam dalam keadaan ekonomi tidak menentu berisiko menyebabkan hutang negara menjadi lebih teruk. Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Penasihat Utama Singapura di Pusat Penyelidikan Pasifik... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menaikkan gaji penjawat awam dalam keadaan ekonomi tidak menentu berisiko menyebabkan hutang negara menjadi lebih teruk.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Penasihat Utama Singapura di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun berkata, perkara sedemikian akan berlaku sekiranya produktiviti tidak setimpal dengan kenaikan gaji.

Jelas beliau, gaji tidak wajar dinaikkan kerana memerlukan kos yang banyak disebabkan jumlah dan nisbah penjawat awam di negara ini sangat tinggi berbanding dengan negara luar yang sedang mahupun telah membangun.

"Jadi dalam situasi sekarang, kerajaan terpaksa mengehadkan bayaran gaji yang tinggi kepada kakitangan awam, khususnya dalam keadaan tidak cukup dana untuk perbelanjaan.

"Jika gaji didesak dinaikkan, maka ini mesti diiringi dengan pemotongan jumlah penjawat awam dan menuntut kenaikan produktiviti mereka yang masih memegang jawatan.

"Sekurang-kurangnya jumlah penjawat awam yang baharu dikurangkan secara drastik dan mematuhi prinsip meritokrasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tuntutan supaya gaji penjawat awam dinaikkan.

Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, kenaikan gaji kepada penjawat awam adalah perlu terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Menurut beliau, dengan peningkatan itu, ia akan memberi kesan positif kepada negara termasuk mendapat pulangan semula selain menjadi kayu pengukur kepada syarikat swasta.

"Ini menyumbang manfaat keseluruhan kepada ekonomi negara apabila gaji ditingkatkan. Ia perkara yang perlu.

"Jika banyak gaji, orang akan lebih berbelanja. Jadi, ia akan menjadikan ekonomi lebih rancak, kitaran akan bergerak. Seterusnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga akan meningkat.

"Kita jangan lihat dari satu sudut sahaja iaitu akan tingkatkan hutang.

"Kalau gaji dinaikkan, ia juga meningkatkan produktiviti pekerja. Jadi bila naik, ia adalah sesuatu yang baik kepada negara kerana penjanaan nilai bertambah,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca