DIBERI kepercayaan sekali lagi mewakili Parlimen Hulu Terengganu dengan undi sebanyak 42,910 telah melonjakkan semangat Datuk Rosol Wahid untuk terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat kawasan ini.
Kos sara hidup, peluang pekerjaan, ekonomi penduduk, akses pendidikan dan infrastruktur merupakan antara aspek yang mahu diberikan perhatian oleh beliau.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, RAHAYU MUSTAFA bersama Rosol, baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Datuk berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bermakna ini penggal kedua Datuk menjadi ahli Parlimen kawasan ini. Apakah potensi yang ada di Hulu Terengganu ini sebagai tarikan utama?
ROSOL: Hulu Terengganu yang berkeluasan 3,875 kilometer persegi adalah antara daerah di Terengganu yang kaya dengan tarikan pelancongan.
Walaupun di Hulu Terengganu tiada tarikan pantai seperti di daerah-daerah lain, namun di sini terletaknya tasik buatan manusia yang luas dan unik diberi nama Tasik Kenyir, yang menjadi tarikan utama pelancong ke Hulu Terengganu terutama buat kaki pancing dari dalam dan luar negara.
SINAR HARIAN: Apa cadangan atau saranan Datuk supaya potensi tersebut boleh diketengahkan agar memberi impak kepada ekonomi penduduk setempat?
- Bagi penduduk setempat, saya lihat potensi-potensi ini sudah mula diteroka secara kecil-kecilan. Sebagai contoh untuk sukan ekstrem, ada lokasi anak-anak muda beriadah dengan sukan ‘motorcross’ di Tajin dan Kuala Pueh, lokasi untuk aktiviti hiking di Bukit Taduk, Bukit Jalin dan Bukit Balik Hidung dan sebagainya. Semua tarikan ini perlu diuar-uarkan secara meluas kepada pelancong dari dalam dan luar negara untuk mereka datang meneroka keindahan dan keunikan alam semulajadi di Hulu Terengganu ini.
SINAR HARIAN: Perkara apakah yang mahu Datuk perjuangkan untuk penduduk Hulu Terengganu dan kenapa?
- Sudah pasti isu kos sara hidup yang semakin mencabar kini menjadi keutamaan saya. Oleh itu saya melihat adalah amat penting untuk mewujudkan sebanyak mungkin peluang pekerjaan supaya rakyat dapat menjana pendapatan sekali gus keluar daripada belenggu kesusahan dan kesempitan hidup.
Bagaimana mahu meningkatkan peluang pekerjaan? Sudah tentu kita perlukan kedatangan pelabur ke tempat kita yang bukan sahaja akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat, tetapi juga melonjakkan lagi kitaran ekonomi negeri dan negara.
Saya juga ingin menggalakkan anak-anak muda meneroka bidang keusahawanan kerana mereka juga secara tidak langsung akan merintis peluang pekerjaan untuk penduduk setempat. Selain itu akses pendidikan kepada semua turut akan menjadi keutamaan semua.
Saya tidak mahu mendengar ada lagi anak Hulu Terengganu yang tercicir persekolahan kerana kekangan kewangan atau tidak minat belajar. Sebagai bekas pendidik, saya percaya pendidikan penting untuk mencorak masa depan anak-anak.
Menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam serta memastikan setiap keluarga mempunyai rumah dan tempat tinggal juga antara agenda penting yang saya perjuangkan.
SINAR HARIAN: Kerajaan Pusat memperkenalkan konsep Menu Rahmah iaitu makanan berharga RM5 bagi membantu rakyat. Sebagai bekas Timbalan Menteri KPDNHEP, sejauh mana program ini mampu meringankan beban rakyat?
- Setiap perkara baik yang dilakukan oleh kerajaan akan kita sokong, apatah lagi jika ia dapat memanfaatkan rakyat di segenap lapisan.
Begitu juga dengan Menu Rahmah RM5 yang diperkenalkan kini. Cuma ia bukanlah satu perkara baru kerana sudah banyak pihak khususnya peniaga yang prihatin dengan tekanan rakyat sebelum ini mengetengahkan usaha misalnya seperti jualan nasi bajet berlauk ayam lengkap dengan sayuran serendah RM3.50.
Malah di Hulu Terengganu sendiri kita sudah perkenalkan menu sarapan RM2 yang lengkap dengan makanan dan minuman sejak tahun 2020, sebelum saya menjadi timbalan menteri lagi dan ia masih ada sehingga hari ini.
Kerajaan sebelum ini pun amat prihatin dengan bebanan rakyat dan turut melaksanakan Menu Keluarga Malaysia yang disasarkan untuk meringankan bebanan penuntut institusi pengajian tinggi dan universiti.
Cuma belum sempat ia dikembangkan kepada golongan sasar lain secara lebih meluas, kerajaan telah dibubarkan.
Dalam situasi kos bahan mentah meningkat kini, kerajaan patut bertindak lebih efektif untuk menanganinya, bukan dengan mengeluarkan kenyataan yang menekan pengguna dan peniaga.
Menu Rahmah juga bukan penyelesaian kepada isu kenaikan harga barang, ia hanya untuk membantu meringankan bebanan rakyat.
SINAR HARIAN: Apa penyelesaian sebenar yang harus kerajaan laksanakan, boleh Datuk cadangkan?
- Untuk membendung isu kenaikan harga barang, ia tidak cukup dengan hanya melaksanakan kawalan harga, tetapi perlu ditangani dari peringkat awal pengeluaran sesuatu barangan.
Apa yang saya maksudkan ialah seperti kos penternakan, pengeluaran, pertanian dan seumpamanya seperti yang dilaksanakan di beberapa negara luar yang perlu diselaras atau diminimakan dengan langkah-langkah tertentu oleh kerajaan supaya produk itu akhirnya masih mampu dibeli rakyat.
SINAR HARIAN: Peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang masih belum jelas, apa pendirian Datuk dalam soal ini dan pengurangan peruntukan pembangunan 65 peratus kepada ahli Parlimen?
- Pengurangan peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen sehingga 65 peratus adalah sesuatu yang tidak wajar kerana ia boleh menjejaskan perancangan pembangunan dan kemajuan rakyat di kawasan terlibat.
Apabila peruntukan pembangunan ini dikurangkan, dengan sendirinya ia akan merencatkan pembangunan di sesebuah kawasan yang secara langsung akan memberi kesan dan menyempitkan peluang pekerjaan kepada penduduk.
SINAR HARIAN: Apakah harapan Datuk kepada kerajaan Perpaduan yang memerintah negara?
- Pertama, Perdana Menteri sendiri mesti menunjukkan contoh yang baik dengan menghentikan permainan mencipta tuduhan semata-mata untuk populariti dan kepentingan politik.
Jangan ada dendam. Kedua, segera fokus kepada tugas membangunkan semula negara. Keadaan ekonomi yang mencabar memerlukan tindakan dan pelan pemulihan segera, tak ada masa lagi untuk bermain politik semata-mata.
Tunaikan segala manifesto yang dijanjikan. Jangan beri macam-macam alasan pula. Setakat hari ini tidak ada sebarang dasar dan keputusan yang diambil kerajaan untuk bantu rakyat mendepani situasi ekonomi yang sangat menekan.
Klik di sini untuk terus membaca