DALAM satu kenyataan baru-baru ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari akhirnya mengesahkan pembelian 18 buah pesawat tempur ringan jenis FA-50 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan bernilai RM4.08 bilion Firma... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM satu kenyataan baru-baru ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari akhirnya mengesahkan pembelian 18 buah pesawat tempur ringan jenis FA-50 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Korea Selatan bernilai RM4.08 bilion

Firma KAI, iaitu pengeluar tunggal pesawat dijangka mula membuat penghantaran pertama pada 2026.

Pembelian tersebut merupakan keperluan mendesak sebagai pesawat latihan berkemampuan tinggi yang turut sama boleh diguna pakai sebagai pesawat tempur ringan.

Pesawat yang dikelaskan sebagai Light Combat Aircrat (LCA) dijangka mampu memberikan latihan penyesuaian dan kecekapan kepada juruterbang TUDM untuk mengendalikan pesawat yang lebih canggih dan berkemampuan dengan teknologi yang lebih ke hadapan.

Antara pesawat-pesawat yang turut ditawarkan kepada TUDM bagi perolehan program LCA ini adalah pesawat Tejas dari India, JF-17 (Pakistan), MIG-35 (Russia) dan Hurizet (Turki).

Perolehan 18 buah pesawat ini walau bagaimanapun, sepertimana yang berlaku pada sebahagian program perolehan Kementerian Pertahanan (Mindef) turut ‘tercemar’ dan dikaitkan dengan pelbagai isu, termasuk laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh salah satu pihak yang turut bersaing dalam tender itu.

Tentunya keputusan pemilihan pesawat FA-50 tidak akan mampu memberikan jawapan kepada semua kekurangan atau kepincangan yang mungkin wujud dalam usaha TUDM memperkasakan kemampuan pertahanan ruang udara Malaysia.

Ia juga sudah pasti bakal dijadikan ‘peluru’ oleh pihak-pihak yang kurang senang dengan keputusan dibuat TUDM dan direstui kerajaan hari ini.

Ia mungkin bakal dimanipulasi sebagai senjata politik oleh bloggers dan ‘tik-tokers’ yang hanya mementingkan bayaran upah, bilangan ‘like’ berbanding informasi tepat demi kesejahteraan dan keselamatan negara.

Kita harus faham kenapa TUDM memilih perolehan pesawat jenis LCA berbanding pesawat pemintas atau jet tempur berkapasiti tinggi seperti MRCA (Multi-Role Combat Aircraft).

Realiti geostrategik rantau ini di samping kemampuan kewangan yang tenat akibat penjarahan dana kronik yang berlaku sekian lama serta bebanan hutang negara melampau perlu diambil kira.

Terdapat dua kuasa dunia mempunyai agenda tersendiri di rantau Asia Tenggara dan Laut China Selatan. Ia adalah China dan Amerika Syarikat.

Secara logiknya perlumbaan untuk mempamerkan kekuatan dan kehadiran fizikal aset ketenteraan oleh kedua-dua negara di kawasan ini telah mengakibatkan berlaku perlumbaan senjata berskala kecil.

Bagi negara-negara yang mempunyai sempadan maritim secara langsung dengan kawasan tersebut, adalah sukar untuk menandingi kemampuan mahupun jumlah aset fizikal kedua kuasa tersebut yang boleh dioperasikan dengan berkesan dan untuk jangka masa panjang.

Aset pesawat udara tercanggih negara-negara seperti Singapura, Malaysia, Filipina, Thailand dan Indonesia tidak akan mampu menyaingi kemampuan aset udara Amerika Syarikat dan China sekiranya berlaku konflik perang tradisional dengan jumlah aset, tempo dan melibatkan teknologi tinggi dalam suatu tempoh jangka masa panjang.

Jika dilihat kepada kemampuan TUDM contohnya, jumlah dan jenis pesawat yang berada di kesemua pangkalan udara di negara ini masih belum cukup untuk menandingi pesawat yang berada di atas hanya sebuah kapal pengangkut pesawat milik Amerika!

Sama ada akibat kegawatan ekonomi atau kerakusan rompakan dana pertahanan negara menerusi pelbagai transaksi meragukan dalam sesuatu program, sebahagian negara-negara global kini turut mempunyai trend penurunan bajet perolehan aset ketenteraan.

Kos pesawat LCA yang lebih murah selain boleh digunakan dalam latihan serta operasi antiinsurgensi turut menyumbang kepada populariti pesawat LCA seperti Yakovlev 130 / Aermacchi M-346, BAE Systems Hawk 208/9 dan KAI T-50.

Sifat LCA yang mempunyai kelajuan subsonik tinggi, saiz lebih kecil dan kos pengoperasian yang jauh lebih murah berbanding pesawat MRCA merupakan faktor utama pemilihannya.

Walaupun kecil dengan kemampuan daya kelincahan fizikal lebih rendah daripada pesawat tempur utama, ia masih mampu membawa sistem elektronik dan persenjataan jitu.

Pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan oleh KAI kepada Malaysia dipercayai bakal dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan seperti Pod Elektronik Mengesan Sasaran Sniper, meriam 20mm, kemampuan melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9, GBU-38 JDAM, serta peluru berpandu AGM-65 Maverick.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima Anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca