DI Indonesia, pada tahun 2021 dalam keadaan yang jarang berlaku, seorang ahli perniagaan, Heru Hidayat telah dihukum mati kerana memanipulasi syarikat insurans milik negara, Asabri demi keuntungan dirinya.
Asabri, syarikat insurans yang khusus untuk tentera dan polis telah kerugian sekitar 12.6 trillion rupiah gara-gara perbuatan Heru Hidayat.
Walaupun undang-undang rasuah di Indonesia jarang membawa hukuman mati, tapi ada klausa yang menyatakan pesalah boleh dihukum mati jika melakukannya ketika negara berada dalam situasi darurat atau krisis ekonomi.
Jikalah kita menggunakan klausa yang sama, ‘darurat’ dan ‘krisis ekonomi’, bayangkan berapa ramai pesalah rasuah di negara kita yang telah dimatikan.
Kita telah berada dalam situasi gelisah ekonomi sudah begitu lama. Sejak krisis ekonomi tahun 1998, kita mengalami turun naik ekonomi yang tak menentu.
Apa yang lebih penting, kita memberi isyarat yang betul kepada pesalah rasuah.
Kita juga memberi isyarat yang tepat kepada ahli masyarakat bahawa kita memang sedang berperang dengan rasuah tanpa segan silu dan muslihat.
Agak janggal, tatkala kita selalu melihat pesalah jenayah dibawa ke mahkamah dengan imej yang menggerunkan, pesalah rasuah kita pula biasanya masih bergaya dengan imej korporat dan VIP ketika diiring ke mahkamah.
Benarlah, seseorang itu dianggap tak bersalah sehingga didapati bersalah, tetapi kita perlu berikan isyarat yang betul. Sebab rasuah ini bukan sekadar perbuatan, tetapi juga lebih kepada persepsi orang yang melihatnya.
Sebab itu, kita selalu merujuk kepada Indeks Persepsi Rasuah. Walaupun persepsi, tetapi jika kita berikan isyarat yang salah, pelabur takut untuk berniaga dengan kita.
Kita juga malu dikatakan rakyat dari negara yang tinggi kadar rasuah, seperti banyaknya negara di Afrika dan Asia Barat.
Tapi itulah realitinya. Di mana-mana pun, perjuangan melawan rasuah ini sebenarnya melawan orang yang ada kuasa dan wang. Ia tidak mudah.
Jika rasuah itu hanya dilakukan orang kecil seperti menyogok beberapa puluh ringgit kepada penguat kuasa, itu mudah kita banteras. Mereka orang biasa yang tak ada kuasa.
Tapi jika mereka ialah kelompok lain, itu yang menjadi isunya. Di Filipina, seorang wartawan dan juga juruhebah radio terkenal, Percival Mabasa, 63, yang menghabiskan lebih 30 tahun kerjayanya menentang rasuah, akhirnya ditembak mati. Pembunuhnya pula dikatakan terkait dengan arahan seseorang yang berkuasa di agensi penjara.
Di Turki, Gungor Arslan seorang wartawan akhbar tempatan yang kerjanya membongkar rasuah pemimpin politik tempatan akhirnya mati dibunuh di luar pejabatnya.
Di negara seperti Mexico tentulah angkanya lebih banyak lagi.Di negara kita, kita tak begitu tahu jika ada kes-kes seumpama ini.
Tapi sesekali kita dengar ada juga kematian misteri mereka yang terkait sebagai saksi kes rasuah.
Entah ia berkait atau pun tidak, mungkin di akhirat kelak kita boleh melihat jawapannya.
Sebab itu sudah tiba masanya kita perlu memberi signal yang betul. Berperang dengan rasuah mestilah dilakukan secara jujur.
Ia peperangan dengan sekelompok manusia yang ada kuasa dan wang. Ia tak boleh terlihat seperti dendam kesumat politik sahaja.
Yang naik akan membongkar salah laku mereka yang jatuh. Akhirnya ia memberi signal ‘kamu jangan jatuh, nanti kamu akan didakwa’.
Walaupun menghukum bunuh bukanlah pilihan bijak kepada pesalah rasuah dalam dunia moden ini, kerana di China yang menghukum mati sebahagian pesalah rasuahnya, indeks rasuahnya tetap juga tinggi.
Yang perlu kita lakukan ialah perbetulkan ‘signal’ berperang dengan rasuah ini. Ia lebih baik daripada setiap hari kita bercakap kita benci rasuah.
Mereka yang terkait dengan rasuah perlu dianggap bersalah sehingga dibuktikan tidak bersalah, dan bukan sebaliknya.
Itulah signal yang sepatutnya kita sampaikan kepada semua orang. Mungkin inilah keberanian sebenar kita semua.
* Dr Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca