SHAH ALAM - Kerajaan perlu lebih berhati-hati jika berhasrat untuk melaksanakan subsidi bahan api secara bersasar kerana ia boleh memberi kesan kepada peningkatan inflasi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, sekiranya dilaksanakan, kadar inflasi mungkin akan naik kerana harga minyak perlu diapungkan semula seperti sebelum tahun 2018.
Pada masa sama, beliau menyatakan mekanisme subsidi bersasar juga masih tidak jelas.
"Sebelum melaksanakannya, kerajaan harus memberikan takrifan dahulu tentang T20. Pendapatan rakyat telah pun meningkat selari dengan penurunan kadar pengangguran.
"Jadi, takrifan B40, M40 dan T20 perlu dikaji semula sebab kita masih mengikut takrifan tahun 2020.
"Kategori T20 misalnya, definisinya sendiri tidak berapa tepat kerana ia lebih merujuk kepada golongan berpendapatan tetap yang tinggi.
"Ada golongan kaya yang dikategorikan T20, berharta tapi tiada gaji tetap.
"Model ekonomi Robin Hood iaitu pengagihan semula kekayaan daripada yang kaya kepada yang miskin juga tidak begitu jelas,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Bany Ariffin Amin Noordin bersetuju jika subsidi bahan api secara bersasar dilaksanakan.
Jelasnya, dari segi pendapatan, golongan T20 dilihat tidak mempunyai masalah besar untuk membeli minyak bagi kenderaan mereka berbanding golongan B40 dan M40.
"Subsidi ini juga menggunakan peruntukan yang besar daripada kerajaan.
"Maka, kalau kerajaan dapat laksanakan dasar hanya kumpulan tertentu dapat subsidi, sudah tentu ia memberikan penjimatan yang besar.
"Bagi sebilangan golongan B40 dan M40, perbelanjaan minyak ini adalah suku daripada gaji mereka.
"Sambil kita bantu mereka, ia juga membantu kerajaan kerana banyak lagi yang boleh dibuat dengan penjimatan subsidi itu,” jelasnya.
Ketua Kluster Mikroekonomi, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Mustazar Mansur pula berpandangan subsidi bahan api secara bersasar sangat wajar dilaksanakan kerana ia mampu mengurangkan bebanan kerajaan.
"Apabila harga petrol dunia tinggi, ia melibatkan subsidi dan peruntukan kerajaan yang sangat besar, ini akan meningkatkan hutang negara.
"Subsidi ini sepatutnya tidak diberikan kepada golongan kaya atau elit, mereka tidak layak mendapat subsidi tersebut.
"Saya melihat mekanisme ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan ketirisan yang berlaku, terutamanya melibatkan pengguna dari negara luar iaitu sempadan Singapura dan Thailand,” ujar beliau.
Bagaimanapun katanya, kerajaan harus membuat pengumuman awal jika berhasrat melaksanakannya, lebih-lebih lagi kepada syarikat-syarikat besar kerana ia boleh memberi kesan kepada perancangan dan pelaburan mereka dalam jangka masa setahun.
‘Bukan semua kereta besar milik golongan T20‘
Sementara itu, kerajaan tidak sewajarnya menghapuskan subsidi bahan api kepada golongan T20 sebaliknya dikuatkuasakan ke atas kenderaan berkuasa tinggi.
Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata, ini kerana tidak semua golongan berpendapatan tinggi memiliki kenderaan mewah berkuasa tinggi.
Tambah beliau, jika subsidi golongan T20 ditarik, ia turut menyebabkan pengkelasan dalam masyarakat menjadi lebih ketara.
"Kalau boleh tidak sepatutnya terlalu taksub dengan kelas-kelas dalam masyarakat.
"Yang guna bahan api ini, kena tengok kepada kenderaan. Ada orang kaya pakai kenderaan biasa, jadi tidak sepatutnya subsidi ditarik.
"Ada pula golongan M40, B40 pakai kereta berkuasa tinggi. Adakah patut mereka menerima subsidi?
"Jadi lebih mudah kalau kaedah menentukan subsidi ini ditumpukan kepada kecil atau besar kuasa enjin kenderaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Selasa berkata, kerajaan boleh jimat sehingga RM17 bilion sekiranya golongan T20 yang berpendapatan tinggi tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).
Menurut Ahmad, pada 2022, penggunaan ketiga-tiga bahan api itu dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya sekitar 24 peratus, manakala berpendapatan sederhana (M40) sebanyak 41 peratus dan kumpulan T20 adalah 35 peratus.
Tambah A Kadir, kerajaan juga wajar mengambil kira faktor kenderaan yang menjimatkan penggunaan tenaga minyak dan menyumbang kepada kebersihan alam sekitar.
"Contohnya penggunaan kereta hibrid. Ada juga golongan T20 yang menggunakan jenis kereta sebegini. Jadi, bagi saya tidak wajar beri subsidi ikut kelas pendapatan individu,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca