"TIGA, empat puluh tahun dahulu, orang kampung macam wak tak pernah ambil pusing soal bajet-bajet ni. Yang wak ingat, masa itu orang lebih kerap sebut belanjawan, bukan bajet. Tapi bila dibentang, siapa yang membentangnya, kami tak peduli.
"Sekarang ini dah lain. Semua orang ambil tahu pasal bajet. Bila dibentang, semua pakat menganga depan TV, tepi radio, depan komputer, depan skrin telefon.
Kemudian selepas seminggu dua masing-masing tak habis lagi bercerita pasal bajet. Ini tak cukup, itu tak betul. Semuanya mengalahkan ahli ekonomi.”
"Itu tandanya rakyat semakin cerdik, wak. Tahap kesedaran semakin tinggi, rasa ingin tahu semakin bertambah,” kata saya.
"Ya, dan kehendak juga bertambah. Sebab itu kita tidak pernah puas hati, tak kiralah bagaimana bentuk bajet yang dibentang dan siapa membentangnya.”
Saya tertarik dengan kenyataan itu. Ada betulnya. Oleh kerana manusia itu pelbagai kehendaknya, sampai bila pun tidak akan ada bajet yang mampu memuaskan hati setiap orang.
Tetap akan ada yang merungut. Namun itulah kunci kemajuan hidup sebenar.
Jika semua orang asyik berpuas hati dengan apa yang ada, dunia ini tidak akan bergerak ke mana-mana.
Yang beruntung hanya para isteri kerana tiada lagi risiko suaminya sekali sekala mencari mi atau bihun kerana jemu ‘makan nasi setiap hari’.
Seorang rakan lain berpendapat, tidak kira di negara mana sekalipun, minat rakyat terhadap pembentangan bajet atau sesuatu seumpamanya mempunyai kaitan dengan kelangsungan hidup.
"Di negara yang rakyatnya hidup mewah dan makmur, tiada siapa peduli apa perancangan kerajaan terhadap sosioekonomi mereka.
"Samalah macam anak orang kayangan, mereka tidak peduli dari mana bapa mereka dapat wang, perniagaan apa yang untung, tauke mana yang beri dan berapa yang akan dibelanjakan. Yang mereka tahu dapat apa yang diminta atau hendak,” hujahnya.
Saya malas hendak bertanya sumber mana yang dia rujuk untuk menyokong hujahnya. Namun hati kecil saya berkata, pendapat itu pun ada logiknya walaupun ia bukanlah seratus peratus tepat.
Ada kawan kamsis (kampung siswa) saya dahulu, anak orang yang kedudukannya atas sedikit daripada kayangan terkebil-kebil hairan apabila terjumpa nota kecil tempat saya membuat bajet perbelanjaan bagi bulan akan datang.
Berapa banyak duit diterima daripada keluarga, berapa banyak hendak dibelanjakan untuk makan, minum, minyak motor, beli buku dan keperluan pembelajaran lainnya.
Mungkin kerana hendak menjaga hati saya, dia tidak komen apa-apa. Tetapi mukanya macam orang ternampak mamak sedang memasak tomyam.
Bagi dia mungkin pelik, namun bagi saya membuat kira-kira itu merupakan satu keperluan.
Jika tidak, saya mungkin tersalah belanja dan akibatnya saya jugalah yang mungkin terpaksa berulang-alik ke kelas dengan menyorong motosikal setiap hari.
Saya tahu ramai lagi yang seperti saya. Bukan sahaja ketika masih belajar, selepas bekerja pun masih terpaksa membuat bajet harian, mingguan, bulanan – mengikut kesesuaian.
Jadi dalam hal ini, ada benarnya bajet itu mempunyai kaitan dengan ketidakcukupan.
Bagi rakyat marhaen macam saya, bajet bukanlah semata-mata membawa maksud perancangan kewangan, sebaliknya ia juga membawa erti berjimat-cermat. Bagi kami ada bezanya ‘berbelanja mengikut bajet’ dan ‘berbelanja secara bajet’.
Yang pertama membawa konotasi membelanjakan wang ‘mengikut apa yang dirancang’, manakala yang kedua bermaksud ‘berhemat semasa berbelanja’.
Orang macam kami mungkin tidak dapat menyumbang kepada negara melalui kenaikan cukai 0.5 hingga 2 peratus.
Maklumlah untuk memperoleh pendapatan RM230,000 setahun bukannya senang. Lainlah kalau disuruh menghabiskannya!
Namun demikian tidak siapa boleh menafikan bahawa kami memberi sumbangan yang tidak kecil dalam pembangunan ekonomi negara. Kami membuka peluang perniagaan yang tidak sedikit kepada orang lain.
Bagi memenuhi keperluan orang macam kamilah maka munculnya pengusaha-pengusaha hotel bajet, nasi bajet, kereta sewa bajet, percutian bajet dan lain-lain seumpamanya.
Kerana ada orang macam kami jugalah Bahasa Melayu diperkayakan dengan istilah-istilah baharu seperti ‘bajet bagus’ dan ‘bajet kaya’.
Saya yakin kalau iklim ekonomi kekal macam sekarang tidak lama lagi akan muncul lebih banyak ‘bajet-bajet baharu’ - ayam bajet, telur bajet, sayur bajet, ikan bajet dan sebagainya.
Malah, bukan mustahil jika kemudiannya muncul pula ‘pasangan bajet’ khusus untuk mereka yang tak cukup ‘bajet’.
Tak kisahlah, asalkan jangan ada emak orang yang ‘bajet’ anak dara. Rosak alam maya ini!....#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca