BEBERAPA buah akhbar di Amerika Syarikat telah menghentikan siaran kartun Dilbert kerana kartunisnya, Scott Adams dikatakan telah mengeluarkan kata-kata rasis di media YouTube melalui podcast hariannya, Real Coffee with Scott Adams pada 23... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA buah akhbar di Amerika Syarikat telah menghentikan siaran kartun Dilbert kerana kartunisnya, Scott Adams dikatakan telah mengeluarkan kata-kata rasis di media YouTube melalui podcast hariannya, Real Coffee with Scott Adams pada 23 Februari lalu.

Ketika mengulas sebuah topik ‘Is It Okey To Be White?’ keluaran Rasmussen Reports, sebuah organisasi bancian terkenal di Amerika Syarikat, Adams memberi komen mengenai pandangan ramai yang mengatakan ‘adalah okey menjadi kulit putih.’

Beliau mengatakan golongan kulit hitam Amerika sebagai hate group lantas menyarankan kepada golongan kulit putih Amerika supaya menjauhi golongan ini.

Komen beliau telah menimbulkan kemarahan di media sosial dan desakan agar karyanya di akhbar-akhbar dihentikan.

Akibatnya, siri Dilbert mengenai dunia korporat telah dihentikan daripada Los Angeles Times, The Washington Post, Star Tribune dan The USA Today.

Menurut laporan Good Morning America, kartun Dilbert disiarkan oleh lebih 2,000 akhbar di 65 negara dalam 25 bahasa.

Kelmarin, melalui siaran langsung di YouTube, beliau mengulas mengenai reaksi akhbar-akhbar yang menghentikan siaran kartunnya.

Melalui topik, ‘Apa yang Saya Hendak Buat Bila Semua Media Besar Mengambil Tindakan Terhadap Saya,’ Adams menjawab satu soalan apakah beliau ada mengumpul aset yang membawa maksud tindakan media menghentikan kartunnya akan menjejaskan ekonominya.

Beliau menjawab dengan selamba, ‘Mengumpul aset? Saya sendiri adalah aset.’ Dia berani!

Meskipun dihujani dengan ribuan hentaman dari pelbagai sudut, Adams kelihatan tenang memberi komennya seraya menghirup sekole kopi.

Setakat artikel ini ditulis, sebanyak 70,000 warga maya telah menonton siaran itu, lebih 4,500 yang telah memberikan komen dan lebih 3,000 memberi tanda suka.

Jumlah itu belum termasuk berita, ulasan dan komen-komen yang kian menular ke merata media.

Di sebalik situasi dihadapi Scott Adams, apa yang membuatkan beliau begitu tenang berdepan dengan situasi sebegitu?

Mendepani dengan kritikan benar-benar mencabar emosi seseorang bukan kesukaan kebanyakan orang.

Namun, ada insan yang mempunyai ketahanan emosi dan fikiran hingga mampu mengharungi tempoh itu kerana memahami tindakan sendiri.

Mereka percaya akan pendirian sendiri lalu fokus kepada jalan yang mereka pilih hingga mampu mengharungi arus yang bertentangan.

Yakin diri juga memampukan seseorang itu bertahan dengan pendiriannya. Malah, dia menjadikan kritik sebagai cara untuk belajar dan memperbaiki kelemahan.

Caranya, dia tidak memperibadikan segala kritik dan serangan. Dia menyerap hentaman dengan meyakini bahawa yang dikritik adalah pandangannya, bukan dirinya.

Nilai-nilai yang menjadi pegangan seseorang itu adalah panduannya mengharungi segala bentuk cabaran.

Ia dianggap sebagai rintangan dalam kembaranya menuju ke matlamat peribadinya.

Tentunya, sokongan daripada mereka di sekeliling menjadi benteng untuk menyerap segala tekanan.

Bantuan dari langit melalui doa dan solat akan menjadikan seseorang itu yakin berpaut kepada apa yang diyakininya.

Saban hari, ada sahaja berita dan peristiwa insan-insan yang berdepan dengan segala kritikan yang melintas di skrin telefon kita.

Sama ada mereka itu pak menteri, golongan selebriti, para ustaz, atlit, usahawan, jutawan, malah sesiapa sahaja nampaknya berdepan dengan keadaan itu.

Mari bertanya kepada diri, apakah reaksi kita bila berdepan dengan jutaan kritikan manusia? Ramai di antara kita tidak sanggup berdepan dengan situasi sebegitu.

Ramai yang tidak berani lalu lebih sanggup mendiamkan diri kerana di mana hendak letak muka bila menjadi sasaran orang?

Namun, ALLAH itu Maha Adil. Semua kita akan berdepan dengan situasi menjadi perhatian dan kritikan manusia.

Namun, keadilan Tuhan itu menyebabkan DIA menyesuaikan tahap dan kadar kritikan masyarakat terhadap kita.

Bukankah ALLAH ‘tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya?’ (Al-Baqarah: 286).

Kerana itu, bersedialah untuk berdepan dengannya dalam emosi dan fikiran yang tenang.

Hidup ini seperti mengharungi sungai. Air, ikan, rumpair dan sampah sarap akan mendatangi; tetapi kesemuanya akan berlalu, Insya-ALLAH.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca