MENJELANG 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Perpaduan dilihat lebih komited dan berusaha keras meletakkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi. Ini susulan dapatan... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Perpaduan dilihat lebih komited dan berusaha keras meletakkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi.

Ini susulan dapatan tinjauan daripada kajian firma penyelidikan O2 Research Malaysia (O2) bersama lima media arus perdana yang telah menyenaraikan 10 menteri paling rakyat berpuas hati sempena 100 hari pentadbiran Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

Di tangga pertama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjadi pilihan nombor satu rakyat mengatasi Anwar dan 27 menteri lain dengan kadar penarafan 49 peratus berdasarkan kaji selidik tinjauan rakyat tersebut.

‘Top 5’ yang berjaya menjadi pilihan hati rakyat selain Anwar dan Anthony ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Berdasarkan penarafan populariti menteri-menteri kabinet, kebanyakannya berasal daripada DAP biarpun parti itu sering didakwa sebagai ‘penghalang’ sokongan Melayu terhadap Anwar.

Memilih untuk menjauhkan diri daripada kontroversi atau membuat kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam, strategi parti itu nampaknya membuahkan hasil apabila mereka dipilih kerana prestasi dan kebolehan memimpin kementerian yang ditadbir.

Semestinya, peluang kedua ini tidak akan datang bergolek dan kerajaan kini lebih arif selepas banyak mengambil pengajaran terhadap 'pemerintahan 22 bulan' sebelum ini.

Ketua Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, populariti seorang menteri dipengaruhi oleh faktor kepimpinan, prestasi, integriti, kemampuan berkomunikasi dan juga hubungan dengan rakyat.

"Mereka mungkin mempunyai populariti yang tinggi dalam kalangan rakyat kerana dianggap sebagai menteri yang komited menjalankan tugas, proaktif dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

"Di samping itu, mereka juga mungkin mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang kuat, mampu berkomunikasi dengan baik dan mempunyai integriti yang tinggi. Sifat-sifat ini terserlah pada menteri-menteri yang disebut tadi dan selalu membuktikan gerak langkah mereka kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Premium.

Kelebihan

Tambahnya, menteri-menteri yang menduduki di tangga teratas berdasarkan tinjauan itu mempunyai kelebihan atau kredibiliti untuk mentadbir di dalam kementerian apabila kebanyakan daripada mereka ditempatkan di posisi yang bukan dalam kepakaran dan kemahiran masing- masing.

"Contohnya sebelum Anwar memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau bukan individu yang berlatarkan belakangkan jurusan ekonomi atau kewangan sebaliknya dalam bidang bahasa yang jauh tersimpang daripada portfolio yang dipegang.

"Akan tetapi, beliau tetap komited dan teruskan langkah dalam menstabilkan kewangan negara. Oleh itu, menteri-menteri yang dilantik bukan sahaja dipilih berdasarkan kepakaran mereka semata-mata malah atas pandangan dan kepercayaan Yang di-Pertuan Agong untuk mereka mengurus tadbir dan menyelenggara negara,” katanya.

Mengulas lanjut tentang Anthony yang dipilih sebagai menteri nombor satu di hati rakyat, Hussain berpandangan, sifat beliau yang selalu menonjolkan diri di media sosial membuatkan rakyat berasa dekat dan mampu berinteraksi secara terus dengan aktiviti menteri.

"Selain itu, beliau juga rajin turun ke padang meninjau keadaan fasiliti pengangkutan dan membuat penambahbaikan secara langsung setelah bertahun lamanya masalah itu tertangguh.

"Dengan memanfaatkan teknologi media masa yang terkini, segala jenis perubahan atau penambahbaikan yang dilakukan oleh beliau mampu diserap terus ke dalam hati rakyat. Bahkan, Perdana Menteri sendiri, masih belum jelas terlihat dan itu yang memberi jurang terhadap populariti kejayaan mereka pada pandangan rakyat,” katanya.

Mohd Afandi

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Mohd Afandi Salleh berkata, usaha yang diterapkan oleh Perdana Menteri serta Kerajaan Perpaduan dalam menyelesaikan isu negara dapat dirasai dan dinilai oleh rakyat.

"Seperti sedia maklum, negara kita mempunyai pelbagai cabaran dalam membaik pulih ekonomi dan kehidupan rakyat pada pasca Covid-19 yang perlu diselesaikan segera.

"Kerajaan Perpaduan yang kukuh dan saling bekerjasama di semua jabatan mahupun agensi kerajaan telah menunjukkan berusaha keras untuk menyelesaikan masalah rakyat dan negara,” katanya.

Mohd Afandi yang juga merupakan pensyarah Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA itu berkata, faktor kesungguhan, ilmu yang tinggi serta keutamaan kepada rakyat menjadi penyumbang kepada pentadbiran yang baik.

"Kita lihat menteri seperti Anthony berdedikasi serta efisien dalam menyelesaikan masalah yang terkait dengan rakyat secara langsung seperti isu pengangkutan awam.

"Tidak dinafikan, iltizam, ilmu, komitmen, fokus dan sokongan dari parti DAP amat cemerlang sehingga rakyat berpuas hati terhadap pentadbiran mereka,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca