KETIADAAN sebarang tindakan disiplin diambil terhadap lima Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menyokong Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, semasa krisis perebutan kuasa di negeri itu pada Januari lalu, menimbulkan 1,001 persoalan kepada penyokong parti dan seluruh rakyat Malaysia secara umumnya.
Antara persoalan timbul ialah adakah mereka sebenarnya ‘kebal’ atau BN khususnya UMNO takut mahu mengambil tindakan disiplin terhadap lima ADUN berkenaan.
Lima ADUN itu ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tempasuk), dan Datuk Hamild Hamid Awang (Balung).
Sebelum ini, UMNO begitu ‘ghairah’ memecat keahlian beberapa pemimpin tertingginya yang dikatakan tidak sehaluan dengan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan melanggar arahan parti termasuk bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan mantan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Begitu juga mantan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif, yang digantung keahlian selama enam tahun kerana dikatakan melanggar etika parti.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg berkata, beliau percaya BN dan UMNO memang merancang untuk mengambil tindakan disiplin sekurang-kurangnya menggantung keahlian lima ADUN tersebut sama ada cepat atau lambat.
Bagaimanapun, Romzi berkata, semua parti di Sabah termasuk UMNO mesti berhati-hati sebelum mengambil keputusan disiplin terhadap wakil rakyat mereka kerana ia boleh menjejaskan kestabilan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
"Saya rasa tindakan disiplin akan dikenakan kepada lima ADUN berkenaan, tetapi UMNO hanya menunggu masa yang sesuai kerana saya difahamkan mereka akan digantung keahlian.
"Saya percaya, jika ada apa-apa tindakan disiplin terhadap lima ADUN berkenaan, ia akan menjejaskan UMNO, terutamanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium.
Kemelut politik tercetus apabila BN Sabah diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin membuat keputusan drastik menarik sokongan kepada Hajiji ketika timbul spekulasi UMNO Sabah dan parti Warisan akan bekerjasama untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
Namun, usaha Bung Moktar dan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjatuhkan Hajiji lalu menubuhkan ‘kerajaan tebuk atap’ baharu di Sabah tidak kesampaian apabila lima ADUN BN kekal menyokong kepimpinan ketua menteri sedia ada.
Berikutan itu, Bung Moktar mendesak kepimpinan tertinggi UMNO termasuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Lembaga Disiplin parti supaya mengambil tindakan tegas termasuk memecat dan menggantung keahlian lima ADUN tersebut.
Apa yang misterinya, sehingga kini bukan hanya tiada sebarang tindakan disiplin dikenakan kepada lima ADUN berkenaan, malah lebih malang lagi apabila mereka mengumumkan sudah meninggalkan UMNO untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama tiga lagi bekas ADUN Warisan iaitu Mohammad Mohamarin (Banggi), Azlinah Ariff (Kunak) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjung Kapor).
Untuk rekod, biarpun sudah meninggalkan UMNO, kelima-lima ADUN berkenaan masih terselamat dan tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing kerana Sabah belum mewartakan enakmen bagi menghalang wakil rakyat bertukar parti politik seperti Akta Anti Lompat Parti yang dikuatkuasakan ke atas semua ahli Parlimen sekarang.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpandangan, UMNO tidak mengambil tindakan disiplin terhadap lima ADUN itu kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemilihan pucuk parti dijadual berlangsung pada Mac.
Awang Azman menegaskan, beliau tidak menolak kemungkinan lima ADUN tersebut bakal dikenakan tindakan tegas sama ada digantung atau dipecat keahlian oleh MKT dan Lembaga Disiplin selewat-lewatnya selepas pemilihan parti selesai.
"Fokus UMNO sekarang ialah kepada pemilihan jawatan tertinggi parti daripada sayap pemuda hingga ke MKT dan naib presiden. Jadi semua pihak kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemilihan parti dan mahu mendengar suara akar umbi mengenai pemimpin mana yang mahu diangkat rakyat Sabah.
"Keputusan pemilihan UMNO bahagian akan memberikan petunjuk mengenai bentuk tindakan disiplin yang sesuai bakal diambil oleh Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur terhadap lima ADUN itu.
"Misalnya, adakah Bung Moktar masih mampu mempertahankan dan menang besar dalam perebutan kerusi Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan atau tidak, juga akan menjadi petunjuk sama ada lima ADUN berkenaan akan dikenakan tindakan disiplin oleh parti atau sebaliknya,” jelasnya.
Awang Azman juga meramalkan krisis politik Sabah dijangka memasuki episod baharu dan ditamatkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama kerajaan campuran termasuk Hajiji dalam rangka lawatan rasminya ke negeri itu pada Selasa.
"Saya kira episod krisis politik Sabah akan dinoktah dalam perundingan antara Perdana Menteri dan pemimpin politik berkenaan semasa lawatan rasmi beliau ke sana pada Selasa.
"Perdana Menteri mahu menyelesaikan krisis politik Sabah secara harmoni dan tidak mahu menyebabkan berlaku pepecahan dalam kalangan parti komponen kerajaan negeri kerana ia akan menjejaskan Kerajaan Perpaduan sedia ada,” tambahnya.
Klik di sini untuk terus membaca