SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam tindakan segelintir majikan yang sanggup memberhentikan pekerja tempatan setelah permohonan kuota pekerja asing mereka diluluskan.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, golongan berkenaan dilihat mengambil kesempatan atas kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikan isu kekurangan pekerja di sektor tertentu.
Menurutnya, MTUC bagaimanapun sudah dapat menduga situasi itu akan berlaku, malah tidak mustahil ia akan menjadi bertambah serius apabila kerajaan melaksanakan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA).
"Daripada mula lagi kita sudah waswas dengan pelaksanaan pelan untuk memudahkan urusan pengambilan pekerja asing seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Manusia.
"Inilah akibatnya apabila kerajaan memudahkan urusan mereka (majikan),” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Kerajaan sebelum ini menjangkakan masalah kekurangan tenaga kerja di sektor industri yang kritikal akan dapat diatasi dengan pelaksanaan PKPPA.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, Kementerian Sumber Manusia menerima banyak aduan mengenai syarikat-syarikat tempatan yang telah mendapat kelulusan kuota pekerja asing bertindak memberhentikan pekerja tempatan apabila permohonan mereka telah diluluskan.
Mengulas lanjut, Kamarul Baharin berkata, beliau gusar dengan lambakan pekerja asing yang berisiko menyebabkan pekerja tempatan hilang mata pencarian.
"Bukan tidak bersetuju tetapi inilah kenyataannya. Jangan pinggirkan pekerja tempatan. Seperti kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan.
"Ini baru isu pengambilan pekerja asing, belum campur isu yang akan timbul selepas kemasukan mereka.
"Malah ada juga kes salah laku yang sama melibatkan pekerja tempatan dan buruh asing, tetapi tindakan tatatertib hanya diambil ke atas pekerja tempatan sahaja,” tambahnya.
Beliau berpandangan, hanya kerajaan yang mempunyai kuasa untuk mengawal situasi itu supaya tidak memudaratkan lebih ramai tenaga kerja tempatan.
"Pihak lain seperti pekerja atau persatuan tidak boleh mengawal keadaan ini. Kerajaan yang berkuasa untuk meluluskan permohonan syarikat terhadap pengambilan pekerja asing.
"Undang-undang kelulusan sepatutnya tidak semudah itu. Laksanakan seperti sebelum ini, ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dibuat bagi menjaga kepentingan pekerja kita.
"Kalau memudahkan, nanti syarikat akan mengambil kesempatan, walaupun bukan semua, tetapi peluang untuk mengambil kesempatan itu terbuka,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca