SHAH ALAM - Tindakan segelintir majikan yang memberhentikan pekerja tempatan dan menggantikannya dengan tenaga buruh asing akan menyebabkan kerugian kepada negara dalam jangka masa panjang.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berpandangan, kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini boleh mendorong pekerja tempatan untuk berhijrah dan bekerja di negara lain.
"Pekerja tempatan akan sukar untuk mendapat kerja di negara sendiri. Keadaan sedemikian boleh menyebabkan mereka lebih berminat untuk mencari pekerjaan di negara lain.
"Ini merupakan satu kehilangan sumber tenaga kerja negara yang amat berharga bagi jangka masa panjang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi amaran akan membatalkan kelulusan kuota pekerja asing yang sudah diberikan kepada mana-mana majikan atau syarikat jika mereka didapati memberhentikan pekerja tempatan selepas mendapat tenaga buruh asing.
Menterinya, V Sivakumar menegaskan, majikan atau syarikat itu juga boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan kerana bertentangan dengan Seksyen 60M Akta Kerja 1955.
Mengulas lanjut, Syed Hussain menegaskan, MEF tidak akan menyebelahi mahupun menyokong mana-mana majikan yang mengambil pekerja asing dan memberhentikan pekerja tempatan.
"Jika benar ada majikan yang mengambil buruh asing dan membuang pekerja tempatan, tindakan sewajarnya hendaklah diambil terhadap mereka.
"Selain mengambil tindakan mahkamah dan dikenakan hukuman jika didapati bersalah, majikan tersebut hendaklah disenarai hitam dan tidak dibenarkan untuk mengambil pekerja asing lagi,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menolak dakwaan bahawa segelintir majikan di Malaysia lebih gemar mengambil tenaga asing berbanding pekerja tempatan.
Sebaliknya, Syed Hussain berkata, majikan di negara ini telah berusaha sedaya upaya untuk mengupah pekerja tempatan, namun kekosongan kerja yang ditawarkan kurang menarik minat golongan itu.
"Ini kerana kebiasaannya kekosongan kerja yang ada boleh dikategorikan sebagai susah, bahaya dan kotor,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca