TINDAKAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang terus berdiam diri berhubung aduan usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, Januari lalu, menimbulkan 1,001 persoalan.
Penganalisis politik berpandangan, situasi itu sepatutnya tidak berlaku kerana sebelum ini RoS sudah memanggil Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi memberikan penjelasan dan mendapatkan maklumat tambahan berhubung kes terbabit.
Namun, sehingga kini RoS belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada usul diluluskan PAU 2022 berkenaan sah atau tidak biarpun banyak pihak mendesak supaya jabatan itu segera mengumumkan keputusan.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, RoS sepatutnya membuat keputusan dengan lebih pantas kerana perjalanan pemilihan UMNO berjalan mengikut jadual dengan proses pengundian bagi jawatan sayap pada 11 Mac, manakala Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Naib Presiden pada 18 Mac ini.
"Jika tiada sebarang kenyataan dikeluarkan RoS, maka itu menunjukkan mereka meluluskan keputusan PAU 2022 supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang,” katanya kepada Sinar Premium.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula menegaskan, RoS dan kepimpinan UMNO wajar menangguhkan pemilihan parti itu sehingga kes aduan PAU 2022 selesai sepenuhnya bagi mengelak timbul sebarang persepsi negatif dan salah faham.
Mohammad Tawfik juga berpandangan, semua blok dalam UMNO sama ada kem Presiden atau kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan RoS membuat keputusan secepat mungkin.
"Ini penting untuk elakkan pemilihan jawatan tertinggi parti dihentikan separuh jalan jika RoS mendapati usul PAU 2022 didapati bertentangan Perlembagaan UMNO,” katanya.
Bagaimanapun, pakar perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain pula berpendapat, pemilihan pucuk tertinggi UMNO tidak perlu ditangguhkan kerana keputusan PAU 2022 tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.
Malah, Wan Ahmad Fauzi berkata, sehingga tarikh tutup, tiada pemimpin UMNO menghantar borang pencalonan bagi mencabar kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden dan Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden.
Klik di sini untuk terus membaca