BARU-baru ini saya dijemput oleh sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur untuk menyampaikan ucapan perasmian sempena majlis anugerah cemerlang para pelajarnya.
Saya memulakan ucapan dengan memohon maaf kerana saya akan melanggar protokol kebiasaan yang berlaku dalam majlis-majlis di Malaysia.
Selalunya dalam ucapan-ucapan rasmi di Malaysia, kita akan mendahulukan orang-orang kenamaan dalam salutasi salam hormat pembuka kata. Yang Berhormat itu atau Yang Berbahagia ini.
Pada saya, VVIP pada hari tersebut adalah anak-anak yang cemerlang, maka saya mulakan dengan "Yang diraikan hari ini semua anak-anak murid, tidak kira yang mendapat anugerah cemerlang mahupun yang tidak. Semua anak-anak murid ini sama penting kerana masa depan negara ini terletak di bahu anak-anak sekalian.”
Kedua penting dalam salutasi saya adalah guru-guru yang bertungkus-lumus mendidik anak-anak ini untuk menjadi rakyat yang berguna.
Guru-guru ini telah memberi sepenuh jiwa dan raga mereka untuk membantu anak didik mereka.
Pada hari tersebut saya meminta semua ibu bapa yang hadir untuk berdiri bersama-sama dengan saya memberi penghargaan kepada guru-guru dengan memberi tepukan paling gemuruh sebagai tanda penghargaan dan terima kasih.
Ketiga penting sudah tentu ibu bapa yang telah melahirkan anak-anak ini ke dunia dan menyerahkan anak-anak mereka untuk dididik dan diasuh oleh guru-guru di sekolah. Ibu bapa juga sama penting dan mempunyai tanggungjawab besar untuk mendidik anak-anak mereka.
Saya juga tidak lupa untuk memberi penghormatan kepada semua kakitangan sekolah yang juga memainkan peranan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk membantu pengurusan sekolah tidak kira sama ada sebagai pegawai kerani, pembantu pejabat, mahupun tukang kebun di sekolah. Mereka semua menyumbang dalam membina ekosistem pembelajaran anak-anak ini.
Sewajarnya mereka ini juga dikenang dan diberi penghormatan. Penghormatan juga saya berikan kepada guru besar dan guru-guru penolong kanan serta wakil persatuan ibu bapa yang saya difahamkan banyak membantu dalam pembangunan sekolah.
Sudah tentu semua pihak akan mengambil berat apabila kita membicarakan mengenai pendidikan anak-anak kita. Semua sedar akan kepentingan pendidikan untuk membentuk generasi masa depan.
Semua keluarga tidak kira yang kaya mahupun yang miskin, mahu melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup dengan mendapat pendidikan yang terbaik.
Ramai dalam kalangan ibu bapa yang sanggup bergolok dan bergadai demi menyempurnakan keperluan pendidikan anak-anak mereka setakat yang mereka mampu.
Selebih itu kita berharap sistem sokongan dan kebajikan dalam negara dapat memberi bantuan yang sewajarnya agar tidak ada dalam kalangan anak-anak ini yang tertinggal.
Ini harapan kita, sebab itu dalam ucapan saya semasa merasmikan majlis di sekolah baru-baru ini, saya ingatkan kepada semua pihak bahawa sambil kita meraikan anak-anak yang cemerlang, kita jangan lupa untuk memberi perhatian kepada anak-anak yang ketinggalan dalam pelajaran.
Dalam konteks sekolah ini, saya dimaklumkan oleh guru besar bagaimana guru-guru datang 30 minit lebih awal untuk memberi kelas tambahan khusus kepada para pelajar yang agak ke belakang dalam pencapaian akademik mereka. Ini adalah satu lagi usaha murni yang perlu diberi kepujian.
Saya masih ingat semasa belajar di luar negara dahulu, setiap kali saya mendapat keputusan yang cemerlang untuk setiap semester, saya akan menerima surat tahniah daripada Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia.
Dalam surat balas, sambil saya berterima kasih kerana perhatian yang diberikan, saya memohon agar pihak jabatan juga lebih kerap menulis kepada para pelajar yang benar-benar memerlukan perhatian dan motivasi untuk belajar. Kadang-kadang mereka ini merasakan diri mereka tersisih dan tidak diperlukan.
Dalam konteks Malaysia Madani, sebenarnya usaha untuk mengambil berat dan mengambil tahu demi kebaikan bukan ‘untuk menjaga tepi kain orang’ adalah usaha yang penting dalam menjaga kesejahteraan masyarakat.
Kita semua harus bermula dengan kita menjadi orang yang sentiasa memikirkan tentang orang di sekeliling kita. Terutama mereka yang lebih daif dan mereka yang berada dalam kesusahan.
Malaysia Madani bukan hanya untuk ditulis dalam surat, atau dilafazkan dalam ucapan. Ia adalah amalan yang menunjukkan kita orang yang ada ihsan dan berhasrat untuk membawa kebaikan kepada semua.
* Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca