PADA 10 Jun 2020, tiga bulan selepas kemelut politik yang memuncak dengan berlakunya Langkah Sheraton, tiga pertubuhan masyarakat madani – Gabungan Untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru perjanjian gencatan senjata antara parti.
Seruan ini membawa enam poin: (1) kesamarataan di depan undang-undang, (2) peranan membina wakil rakyat ‘persendirian’ (bukan menteri), (3) reformasi pendanaan politik termasuk peruntukan kawasan, (4) pencegahan lompatan parti, (5) pengimbangan semula kuasa persekutuan dan negeri, serta (6) reformasi politik pilihan raya dan perwakilan.
15 bulan kemudian, seruan ini dijawab dengan termaktubnya Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) antara kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pakatan Harapan yang membawa reformasi dan kestabilan selama 13 bulan sehingga Parlimen dibubarkan.
Pendamaian antara parti tetap relevan hari ini sungguhpun kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menikmati majoriti dua pertiga.
Daripada enam poin disyorkan pada 2020, undang-undang antilompatan sudah termaktub sungguhpun Sabah telah membuktikan ini bukan penutup tirai yang muktamad.
Sementara pendalaman federalisme dan reformasi sistem pilihan raya akan mengambil lebih panjang masa, tiga poin lain – kesamarataan di depan undang-undang, peranan membina wakil rakyat persendirian dan reformasi pendanaan politik perlu dilaksananakan segera dengan muafakat antara parti.
Kegagalan mencapai muafakat antara parti akan menggugat kestabilan ekonomi dan seterusnya keyakinan pelabur dalam dan luar negara untuk Malaysia mengejar pemulihan pasca-Covid.
Sudah kita lihat pelbagai dasar kerajaan sampailah Menu Rahmah yang memanfaatkan rakyat B40 dikecam pembangkang serta sentimen kaum dan agama sentiasa dimainkan.
Sungguhpun kebanyakan rakyat inginkan kestabilan dan hubungan antara parti yang lebih murni dan profesional, serta kerajaan diberikan ruang untuk mentadbir negara, ini tidak akan terjadi jika persengketaan sekarang berterusan untuk lima tahun.
Terdapat dua faktor asas kepada keberlangsungan persengketaan politik. Pertama, pemusatan kuasa parti kerajaan yang melampau sejak 1969 menyebabkan penyokong parti pembangkang merasakan diri mereka dianiaya dan membalas dengan sentimen dendam yang tinggi.
Kedua, perkembangan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 mewujudkan dua kem, iaitu kerajaan campuran yang bersifat pelbagai kaum merangkumi Pakatan Harapan (38 peratus undi, 38 peratus kerusi), BN (22 peratus undi, 14 peratus kerusi) dan parti-parti Borneo (10 peratus undi, 15 peratus kerusi) serta Perikatan Nasional (30 peratus undi, 33 peratus kerusi) yang 99 peratus Melayu di pihak pembangkang.
Ini membolehkan penganaktirian pembangkang disensasikan sebagai penganaktirian orang Melayu-Muslim, menyebabkan sebahagian besar pengundi Melayu menolak secara impulsif usaha-usaha kerajaan.
Ini yang dilihat dalam kajian dalam talian lima media utama baru-baru ini, sungguhpun angka tersebut kemungkinan besar tidak tepat kerana persampelan bukan rawak dan ada ‘self-selection bias’.
Sememangnya ada pemimpin dan penyokong parti-parti kerajaan campuran yang harapkan penganaktirian pembangkang seperti penafian peruntukan kawasan akan melemahkan pembangkang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai atau Ogos ini.
Mereka harus sedar bahawa kaedah ini gagal menahan kemenangan DAP terhadap MCA sejak 2008 dan sejarah mungkin berulang dalam kalangan pengundi Melayu.
Lebih baik untuk kerajaan Anwar mengambil langkah menamatkan amalan dan setidak-tidaknya persepsi ‘menganaktirikan/menganiaya pembangkang’ untuk kebaikan negara dan diri.
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca