SHAH ALAM - Aktiviti pembuangan sampah haram mutakhir ini amat membimbangkan.
Naib Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia (EPSM), Randolph Jeremiah berkata, aktiviti pembuangan sampah haram ini berlaku kerana sikap manusia yang mengambil mudah dengan aktiviti tidak bermoral tersebut.
Katanya, perbuatan itu bukan sahaja dilakukan oleh individu malah dibuat secara terancang oleh syarikat yang ingin menjimatkan kos melupuskan sampah dengan jalan singkat.
"Jadi, kebanyakan mereka (syarikat) lakukan (buang sampah) di kawasan yang susah untuk dilihat orang ramai.
"Isu sampah haram ini sangat besar kerana di dalam longgokan berkenaan terdapat bahan yang berbahaya,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, timbunan sampah di kawasan awam dan perumahan semakin serius disebabkan khidmat pengambilan sampah tidak mencukupi.
"Penduduk juga tidak sedar akan kesan terhadap alam sekitar setelah membuang sampah. Ia menjadikan persekitaran kotor, berbau dan sebagainya. Mereka buang sahaja,” ujarnya.
Selain itu, pembuangan sampah haram turut mengundang haiwan pembawa penyakit yang boleh membahayakan kesihatan dan mengancam nyawa seperti nyamuk, lalat, tikus dan lipas.
Tegasnya, punca lain adalah pemantauan daripada pihak berkuasa yang lemah menjadikan pusat pengumpulan sampah haram meningkat.
Sementara itu, Pengerusi Generasi Peduli Sampah, Datin Norelan Ismail berkata, masalah longgokan sampah jadi kritikal disebabkan amalan pengguna yang tidak mempedulikan kebersihan.
"Memang banyak sangat sampah haram, merata-rata. Dekat kawasan rumah saya sahaja pun, bertompok-tompok. Kenapa bertompok? Ia kerana ada tempat tertentu yang tersorok mereka buang sampah haram.
"Terutama hari perayaan. Saya nampak melalui pengalaman. Sofa-sofa lama yang tidak mahu, mereka buang sahaja di tepi jalan atau kawasan hutan,” katanya.
Jelas Norelan, Malaysia yang merupakan negara Islam seharusnya mengikuti prinsip agama dengan kemurnian dan kebersihan.
Masyarakat perlu ubah sikap
Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, komuniti memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan bagi memastikan persekitaran bersih tanpa sampah sekali gus mengelak wujudnya lokasi sampah haram.
Katanya, usaha itu bagi mewujudkan bandar raya bersih, berdaya huni dan bebas penyakit dengan peranan besar masyarakat membantu agensi dan jabatan terlibat mencapai matlamat sama.
"Tidak lama lagi bulan puasa, banyak makanan dijual dan dibeli serta kuantiti sampah makanan, masakan, kediaman pasti meningkat,” katanya kepada pemberita.
Jelasnya, penjagaan dan mengekalkan kecantikan persekitaran di bandar raya bergantung kepada sikap dan tanggungjawab komuniti.
"Perubahan dalam bandar raya ini bergantung kepada komuniti.
"Kami menyediakan fasiliti, sama seperti syarikat E-Idaman dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam tetapi komuniti perlu membantu.
"Sekiranya komuniti tak bantu, agak sukar sikitlah untuk memastikan bandar raya ini berdaya saing dan berdaya huni, bersih serta bebas penyakit,” katanya.
Mohd Yusri turut menasihati komuniti agar memanfaatkan pusat kitar semula pandu lalu yang dikenali sebagai Drive Thru Recycle Centre (DTRC) di Pasar Besar Alor Setar, Jalan Peremba di sini.
Klik di sini untuk terus membaca