SHAH ALAM - Keputusan muktamad sama ada permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) diterima atau tidak bakal diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN, dalam masa terdekat.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan muktamad sama ada permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) diterima atau tidak bakal diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN, dalam masa terdekat.

Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mengesahkan PN sudah menerima permohonan Pejuang yang berhasrat menyertai gabungan parti politik berkenaan.

"Semua Ahli MT PN akan memberikan pelbagai pandangan masing-masing sebelum kita membuat keputusan muktamad sama ada meluluskan atau tidak permohonan Pejuang untuk menyertai PN nanti,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Khamis.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu memang mengalu-alukan hasrat Pejuang menyertai PN, namun keputusan muktamad mengenainya bakal diputuskan dalam mesyuarat pemimpin tertinggi gabungan parti politik berkenaan.

"Penyertaan ini merupakan keyakinan Pejuang terhadap masa sepan PN serta dasar dan perjuangan yang dibawa.

"Kita perlu memperkukuhkan kekuatan semua pihak bagi memperkasakan politik negara masa kini dan akan datang,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam jawapan ringkas kepada wartawan Sinar Premium.

Sementara itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata, beliau tidak boleh memberikan maklum balas berhubung permohonan Pejuang kerana belum menerima maklumat rasmi daripada parti mengenainya.

"Jadi kita kena tunggu keputusan mesyuarat pucuk pimpinan PN dulu sebelum membuat sebarang ulasan lanjut mengenai isu ini,” ujar beliau.

Terdahulu Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan pihaknya sudah menghantar permohonan berkenaan untuk menyertai gabungan parti politik berkenaan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu.

Pada 23 Februari lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menganggap Mukhriz berbuat demikian kerana terdesak menjelang PRN di enam negeri yang mungkin diadakan pada akhir Jun ini.

Klik di sini untuk terus membaca