DALAM ucapan Belanjawan 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh laporan A Nation at Risk: The Imperative for Educational Reform iaitu laporan tentang mutu pendidikan Amerika Syarikat (AS).
Ia diterbitkan pada 1983 dan telah membawa kepada suatu undang-undang iaitu No Child Left Behind Act 2002 dan kemudiannya Every Student Succeeds Act 2015. Terdapat banyak diskusi yang merujuk mutu pendidikan AS. Contohnya, oleh Derek Bok, Frank Furedi, Harry Lewis, Henry Giroux.
Di samping itu, Stefan Collini dan Peter Fleming membicarakan mutu universiti di peringkat yang lebih luas.
Saya mencadangkan agar kerajaan menggerakkan reformasi pendidikan. Ia bagi menilai sejauh mana kita melaksanakan Falsafah dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Menilai soal Islamisasi dan integrasi ilmu serta de-westernisation and de-colonisation of knowledge. Menilai soal mismatch dan jurang antara bilik darjah dengan tempat kerja.
Reformasi pendidikan perlu bermula di tempat paling tinggi iaitu universiti. Ada dua sebab ia bermula di universiti.
Pertama, matlamat membina insan baik (good man) dan bukannya sekadar pekerja baik (good worker) harus digarap melalui konsep insan kamil (sempurna) yang berasaskan nilai-nilai yang tinggi. Bagi umat Islam, ia model kepada keperibadian Rasulullah SAW.
Makanya, ia perlu bermula di universiti.
Sebab kedua kerana hampir seluruh spektrum kehidupan ditentukan dan diwarnakan oleh lulusan universiti. Pepatah mengatakan ‘melentur buluh daripada rebungnya’.
Lalu ada yang berhujah, reformasi pendidikan perlu dimulakan dari bawah. Soalnya, bukan rebungnya tetapi ialah pelenturnya.
Ia perlu mempunyai matlamat tradisi ilmu, bukannya pengejaran kertas, ada hierarki ilmu sebagai panduan tentang keutamaan dalam kembara ilmu dan menjadi institusi ilmu iaitu terserlah interaksi yang intensif dalam kalangan komuniti ilmu.
Institusi ilmu harus meliputi - naib canselor yang merupakan orang terkanan dalam disiplinnya, profesor kanan dikekalkan tanpa mengira usia dan tanpa proses ‘memohon kerja’ selagi masih mampu memajukan sesuatu disiplin (bukannya sebagai pentadbir).
Selain itu, 30 peratus warga akademik dilantik dalam kalangan profesional yang ada pengalaman luas di lapangan kerja dan ada pengalaman membuat penyelidikan (keutamaan buat yang ada PhD) serta penulisan jangan dihadkan dalam jurnal impak tinggi sahaja tetapi mengambil kira buku, ensiklopedia dan kertas polisi.
Sementara itu, mahasiswa diberikan penghakupayaan yang sewajarnya termasuk mempunyai peranan dalam governans universiti. Dan semua itu berlangsung dalam iklim kebebasan akademik yang segar.
Reformasi pendidikan adalah salah satu daripada agenda reformasi yang komprehensif terhadap sistem-sistem dan institusi-institusi negara demi Malaysia yang lebih baik.
Reformasi pendidikan adalah salah satu daripada agenda reformasi yang komprehensif terhadap sistem-sistem dan institusi-institusi negara demi Malaysia yang lebih baik.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang
Klik di sini untuk terus membaca