ESOK kita akan meraikan Hari Keselamatan Kebangsaan 2023. Antara agenda utama dalam pelaksanaan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) ialah teknologi sedia ada mampu untuk memastikan semua pekerja selamat tiba di tempat kerja. Begitu juga... Klik di sini untuk terus membaca

ESOK kita akan meraikan Hari Keselamatan Kebangsaan 2023. Antara agenda utama dalam pelaksanaan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) ialah teknologi sedia ada mampu untuk memastikan semua pekerja selamat tiba di tempat kerja. Begitu juga perjalanan pulang ke rumah.

Malangnya, Laporan Ranking Kesihatan Dunia atau World Health Rankings yang diterbitkan Jangka Hayat Dunia atau World Life Expectancy (WLE) pada akhir 2022 menunjukkan peningkatan kes kemalangan sangat tinggi di Malaysia iaitu 58 peratus atau 147,094 kes kematian, daripada jumlah keseluruhan 253,610 kes.

Berbanding hanya 1,055 kematian daripada 3,296 kemalangan atau 32 peratus pada tahun sebelumnya.

Persatuan Diraja Pencegahan Kemalangan atau Royal Society for the Prevention of Accidents (RoSPA), sebuah badan amal British mendedahkan faktor treler dipandu melebihi had kelajuan dibenarkan, menyumbang 11 peratus daripada angka kecederaan dan 24 peratus kematian.

Perangkaan dua tahun bermula 2019 pula mendapati kadar kemalangan bagi setiap 100,000 treler meningkat daripada 35.92 peratus kepada 38.46 peratus.

Angka itu sangat mengejutkan! Justeru, penulis menghabiskan masa beberapa minggu untuk meninjau corak pemanduan di lebuh raya yang melibatkan kenderaan treler. Penulis mendapati punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia ialah pemanduan melulu, agresif dan terganggu.

Ada yang menggunakan telefon bimbit, makan dan terlalu memberi tumpuan kepada penumpang ketika memandu laju. Ada juga pemandu treler tidak memahami atau mengetahui prosedur operasi standard (SOP) dan manual kenderaan.

Terlibat secara langsung dalam bidang automobil, penulis tahu treler dilengkapi teknologi dan kelengkapan canggih yang memerlukan kefahaman mendalam.

Gelora angin di belakang kenderaan berat termasuk treler disebabkan seretan mewujudkan pergolakan udara yang hebat. Turbulence kinetic energy (TKE) dengan unit tenaga kinetik per unit jisim atau meter persegi per saat kuasa dua (mpsg/skd) mampu menjejaskan kenderaan sekeliling, sekali gus membahayakan nyawa pemandu lain.

Treler atau bas juga boleh mencipta daya seretan atau drag force lima kali lebih tinggi daripada kenderaan biasa. Akibatnya, TKE bernilai lebih 30mpsg/skd atau lebih besar terwujud boleh menolak motosikal atau kereta kecil menyebabkan berlaku potensi hilang kawalan.

Penulis berharap kerajaan tegas menetapkan kadar had laju maksimum kenderaan berat termasuk treler tidak boleh melebihi 80km/j. Ia juga perlu kekal pada lorong kiri kecuali untuk tujuan lain termasuk membelok ke kanan dengan terlebih dahulu memberi isyarat.

Penulis juga berharap pemandu treler sentiasa menjaga jarak selamat dan tidak menggunakan lorong laluan laju. Mereka juga mesti memahami peraturan apabila memandu kenderaan berat bagi mengelak kemalangan maut.

Perihal pemanduan kenderaan berat telah disebut ALLAH SWT dalam surah Al-Maidah ayat 5:32 bermaksud: "Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israel bahawa barang siapa yang membunuh (menyebabkan kematian) seseorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.

"Dan barang siapa memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan di muka bumi.”

Kewujudan gelora angin di belakang kenderaan berat juga merupakan udara kotor atau dirty air yang menyebabkan peningkatan penggunaan bahan api atau diesel. Justeru, penulis percaya perlu dikaji cara untuk menghapuskan atau mengurangkan seretan sedutan tekanan rendah atau low pressure suction drag (LPSD) daripada berlaku.

Sebagai langkah mengatasi masalah tersebut, penulis mencadangkan pemasangan jaluran ekor angin atau tail wind band yang boleh menjana pusaran angin atau wind vortex secara terkawal pada bahagian kenderaan dikenal pasti punca wujudnya gelora angin melibatkan kenderaan berat termasuk treler.

Jaluran ekor angin boleh direka cipta mengikut saiz dan profil kenderaan berat bagi mengurangkan seretan sedutan tekanan rendah dengan memanjangkan aliran udara melepasi zon sedutan.

Ia juga boleh membantu mengurangkan seretan pada bahagian belakang kenderaan berat yang dikenal pasti meninggikan penggunaan bahan api.

Kesimpulannya, corak pemandu kenderaan berat, khususnya treler harus dipantau dari masa ke masa bagi mengelak kadar kemalangan maut terus meningkat sehingga merosakkan elemen kejayaan IR 4.0.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca