SHAH ALAM - Penubuhan cawangan parti politik di kampus universiti merupakan platform kepada golongan belia khususnya mahasiswa untuk mencorakkan masa depan politik di Malaysia.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Muhammad Ridhwan Zakarta berkata, ia menjadi medan terbaik untuk golongan belia cenderung untuk terjun dalam bidang politik.
Katanya, golongan belia merupakan tonggak utama kepada kestabilan sesebuah negara.
"Saya menyambut baik cadangan untuk membawa masuk unsur bebas politik di dalam kampus kerana ia merupakan satu signifikan untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa.
"Selain itu, ia memberi lebih banyak galakan untuk mahasiswa berkelana dalam bidang pentadbiran khususnya dalam merealisasikan slogan ‘belia tonggak masa depan negara’,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPKK), Rasydan Mohd Hassan berkata, tidak dinafikan cadangan tersebut akan memberi kesan positif kepada mahasiswa untuk menyertai politik.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan itu perlu dilakukan bersama syarat yang lengkap sebagai panduan semua pihak.
"Saya menyambut baik perkara ini namun ingin ditegaskan pihak kerajaan perlu melihat beberapa perkara penting sebelum melaksanakannya kerana khuatir akan memberi kesan buruk seperti berlakunya perpecahan dalam kalangan mahasiswa.
"Universiti adalah gedung ilmu. Tidak salah hendak buka cawangan parti politik malah bagus untuk mahasiswa namun bergantung kepada justifikasinya. Saya percaya, sebelum ia benar-benar dilaksanakan, pihak kementerian akan mengkaji perkara ini dengan mendalam terlebih dahulu,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca