Dasar Penamat Generasi atau Generational Endgame (GEG) merupakan dasar terbaik yang disokong oleh kerajaan antaranya untuk mengawal isu merokok rokok elektronik di kalangan remaja. Peningkatan sebanyak lima peratus pengguna rokok elektronik... Klik di sini untuk terus membaca

Dasar Penamat Generasi atau Generational Endgame (GEG) merupakan dasar terbaik yang disokong oleh kerajaan antaranya untuk mengawal isu merokok rokok elektronik di kalangan remaja.

Peningkatan sebanyak lima peratus pengguna rokok elektronik di kalangan remaja dari tahun 2017 sehingga 2022 adalah amat membimbangkan.

Ini kerana mereka ini adalah generasi kita yang akan menyumbang kepada produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.

Oleh itu, GEG yang menyasarkan remaja yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya tidak mengenal rokok adalah usaha yang baik agar kita dapat memastikan generasi yang sihat tanpa menghidap penyakit yang berkaitan dengan rokok dan juga rokok elektronik untuk meneruskan kesejahteraan Malaysia Madani.

Impak GEG ini bukan sahaja tertumpu kepada isu kesihatan tetapi juga sumbangannya kepada ekonomi negara.

Sekiranya dilihat kepada industri rokok yang telah lama bertapak di negara ini, sumbangan industri ini kepada KDNK negara semakin menurun dari tahun 2015 iaitu sebanyak 0.3 peratus kepada hanya 0.20 peratus pada tahun 2021.

Secara purata sumbangan industri rokok kepada ekonomi Malaysia antara 2010-2020 dianggarkan hanya 0.3 peratus atau kurang dari RM4 billion setahun.

Begitu juga industri ini hanya menyumbang sebanyak 5.3 peratus kepada pendapatan pekerja manakala selebihnya adalah keuntungan mereka.

Kenyataan ini hanya untuk kepentingan mereka kerana perlaksanaan GEG tidak akan menjejas peniaga atau sesiapa yang terlibat dengan perniagaan rokok, rokok elektronik atau vape kerana dianggarkan masih ada 5 juta perokok dan 1 juta perokok elektronik di pasaran masa ini.

Dengan jangka hayat purata penduduk Malaysia adalah 75 tahun, industri mempunyai masa yang lama untuk membuat perancangan beralih ke perniagaan yang lebih bermanafaat.

Begitu juga seperti yang selalu di war-warkan rokok elektronik adalah alternatif untuk berhenti merokok, pihak industri sepatutnya telah bersedia dengan jumlah perokok vape yang akan berkurangan kerana mereka telah berjaya berhenti merokok.

Oleh itu, perlaksanaan GEG sebagai sebahagian dari strategi "endgame” perlu dilaksanakan kerana industri rokok dan rokok elektronik hanya memberi sumbangan yang minimal kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Tambahan pula, mempromosi dan menyokong industri ini juga bercanggah dengan hala tuju dasar yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12) yang memberi tumpuan kepada memangkin industri startegik dan berimpak tinggi untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menambahbaik pampasan bahagian pekerja.

Oleh itu, ketiadaan industri ini pada tahun 2045 tidak akan disedari kerana ia tidak akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

*Prof Madya Dr Norashidah Mohamed Nor ialah Pakar Ekonomi Kesihatan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM serta ahli MyWatch.

Klik di sini untuk terus membaca