SHAH ALAM - Satu prosedur dan peraturan yang jelas perlu disusun sekiranya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu membenarkan penubuhan cawangan parti politik di kampus universiti. Penganalisis dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Satu prosedur dan peraturan yang jelas perlu disusun sekiranya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mahu membenarkan penubuhan cawangan parti politik di kampus universiti.

Penganalisis dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, tindakan itu sewajarnya dilakukan bagi memastikan keseimbangan antara berpolitik dan tumpuan terhadap pembelajaran dalam kalangan mahasiswa.

Beliau berkata, prosedur dan peraturan bersesuaian perlu diambil perhatian terlebih dahulu untuk mengelakkan mahasiswa tidak ‘hanyut’ dengan politik sehingga mengabaikan pelajaran.

"Begitu juga fokus pembelajaran politik perlu diberikan garis panduan. Misalnya, sekiranya pelajar itu hendak memegang jawatan atau bertanding (pilihan raya), perlu ada kelayakan dari segi pencapaian akademik seperti mempunyai pointer 3.5 dan ke atas. Cara ini juga mendorong mereka untuk berusaha mencapai keputusan akademik cemerlang.

Awang Azman bagaimanapun berkata, dari sudut positif, cadangan KPT itu boleh mempraktikkan amalan politik di dalam dan luar kampus.

"Ini penting untuk memastikan sejajar dengan undi 18 tahun. Setiap universiti perlu memberikan kebebasan bukan sahaja kepada pelajar, malah terbuka kepada parti-parti politik di negara ini.

"Impak negatif pula, ia memberi suatu kebimbangan apabila parti dominan akan lebih menguasai kerana mereka mempunyai jentera sama ada dari segi kementerian, selain bergantung ideologi politik bagi menteri dan timbalan menterinya,” ujar beliau.

Sementara itu, penganalisis politik dan media sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berpandangan, golongan muda terutama pengundi golongan Undi 18 akan menerima manfaat dari segi pendedahan dan literasi politik.

"Ini merupakan suatu langkah yang bagus kerana dapat memberi pendedahan politik, literasi politik, perkembangan semasa tentang politik negara, penglibatan urus dari segi pembinaan dasar-dasar politik, polisi berkaitan dengan kerajaan dan sebagainya kepada golongan muda.

"Kita lihat sekarang, pengundi berumur 18 tahun mendapat pendedahan awal berkaitan perkembangan politik negara menerusi platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook,” katanya.

Sara berkata, tiada masalah sekiranya kerajaan mencadangkan untuk menubuhkan cawangan parti politik di kampus kerana mahasiswa sudah matang untuk membuat pilihan parti politik masing-masing.

"Apabila rakyat Malaysia sudah boleh mengundi ketika berusia 18 tahun, maka amat wajar ditubuhkan cawangan parti politik di peringkat universiti pula.

"Ini bukan perkara baharu kerana di peringkat universiti pun sudah ada pilihan raya untuk majlis perwakilan pelajar,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca