SHAH ALAM - Rata-rata pemimpin politik bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk membenarkan penubuhan cawangan parti politik di kampus.
Antara yang menyokong cadangan berkenaan ialah Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berkata, ia bagi memastikan mahasiswa mempunyai saluran betul untuk belajar tentang kepentingan politik.
Menurutnya, ia dapat mengelakkan anak muda terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hala tuju tidak jelas.
"Ini satu cadangan baik dan sekiranya dibawa ke Parlimen, saya salah seorang yang akan menyokong usul ini sehingga boleh disokong semua pihak.
"Saya rasa sudah tiba masanya sebab ketika pengundi-pengundi berumur 18 tahun, selepas Tingkatan Lima mereka akan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka tidak ada hala tuju dan akhirnya terlibat dengan NGO yang tidak teratur," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
"Jika dilaksanakan, ia dapat menyuburkan amalan politik matang dalam golongan mahasiswa. Mereka dapat berhubung dengan ahli politik di peringkat nasional dan dari sinilah boleh berlaku pendidikan politik, contohnya kita akan bawa mereka (mahasiswa) ke Parlimen,” katanya.
Turut senada ialah Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Kim yang berkata, syor itu wajar dilaksanakan sejajar dengan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun.
"Jika Parlimen kita telah luluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kebenaran kepada orang muda yang mencapai usia 18 tahun membuang undi, mereka sepatutnya boleh menyertai parti dalam kampus.
"Mahasiswa seharusnya sudah faham tentang falsafah dan perjuangan parti politik,” jelas Ahli Parlimen Seputeh itu.
Sementara Naib Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Zaidel Baharuddin tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa cadangan berkenaan akan memberi implikasi buruk terhadap pembelajaran mahasiswa.
"Mahasiswa bukan macam budak bawah umur. Mereka sudah capai usia 18 tahun. Kalau ada pihak mempertikaikan, kena ingat bahawa umur 18 tahun pun sudah boleh bekerja dan membayar cukai. Di sini tidak pula kita mempertikaikan,” katanya.
Bagi Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda pula, kelonggaran itu tidak seharusnya dipandang negatif sehingga menimbulkan polemik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ini kerana, katanya, mahasiswa sememangnya mempunyai peranan yang tinggi terhadap corak pembentukan nasional.
"Kita sebenarnya sudah ketinggalan agak jauh dengan negara lain dalam perkara ini. Negara jiran kita seperti Indonesia sudah lama berbuat demikian.
"Bahkan mereka mempunyai peranan yang besar dalam menjatuhkan pemimpin-pemimpin yang mempunyai salah laku kuasa suatu ketika,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca