MENJELANG pemilihan UMNO bermula 18 Mac ini, tumpuan utama lebih tiga juta ahli parti itu pastinya terarah kepada perebutan tiga kuota jawatan Naib Presiden, susulan dua jawatan tertinggi parti berkenaan disahkan tidak dipertandingkan kali ini.
Sehingga kini, sejumlah lapan pemimpin UMNO telah menawarkan diri untuk merebut kerusi Top 3 hingga Top 5 berkenaan iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai dua penyandangnya.
Selain itu, jawatan itu turut menjadi rebutan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Calon lain yang turut mencuba nasib ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan seorang ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa.
Daripada keseluruhan lapan calon bertanding, penampilan separuh daripada calon berkenaan yang didominasi pemimpin berasal daripada selatan tanah air, Johor hakikatnya menarik perhatian sebilangan pemerhati politik.
Ramai kalangan mereka berpendapat kehadiran Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Mohamed Khaled sendiri yang kini mengetuai UMNO Bahagian Pasir Gudang, Hasni (Ketua UMNO Bahagian Pontian) dan Mohd Yusof seolah-olah memiliki agenda lebih besar untuk kelangsungan pengaruh negeri berkenaan.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, selain kredibiliti Azalina dan Mohamed Khaled yang diketahui mempunyai pengaruh besar dalam UMNO, beliau tidak menolak kemungkinan strategi itu bertujuan mengimbangi pengaruh Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (H20) yang dianggap tidak selari dengan pendirian kem menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada masa sama, Hisommudin juga tidak menolak kemungkinan kehadiran Hasni dan Mohd Yusof menyertai gelanggang perebutan tiga jawatan utama UMNO itu hakikatnya bertindak sebagai proksi kepada Hishammuddin yang tidak dapat bertanding kerana digantung keahlian selama enam tahun.
Di sebalik penglibatan ramai calon bertanding jawatan Naib Presiden UMNO daripada Johor, beliau menyuarakan kebimbangan senario itu akan mewujudkan perpecahan undi dalam kalangan perwakilan negeri dari selatan itu sendiri.
"Jadi saya nampak faktor ini mungkin menyebabkan hanya seorang pemimpin dari Johor akan memenangi jawatan Naib Presiden dalam pemilihan UMNO pada 18 Mac nanti, sama ada kekal disandang Mohamed Khaled atau bakal milik pemimpin baharu.
"Tidak mungkin ketiga-tiga pemenang jawatan Naib Presiden adalah datangnya dari Johor kerana perwakilan akan memikirkan kombinasi pemilihan pemimpin dari negeri lain.
"Secara logiknya, mereka hanya memilih salah seorang daripada tiga calon heavyweight dari Johor sekali gus menyebabkan berlaku pecah undi terutama daripada perwakilan negeri itu,” katanya.
Bagaimanapun, Hisommudin turut mengunjurkan Azalina mempunyai kelebihan kerana beliau adalah calon wanita tunggal yang bertanding bagi merebut jawatan Naib Presiden selain dilihat orang kuat Presiden UMNO.
Sementara itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi pula menegaskan tidak timbul soal kenegerian atau pertembungan antara kem penyokong Presiden atau anti Presiden.
Hal ini kerana beliau menegaskan ahli parti akan memilih barisan kepimpinan baharu berdasarkan prestasi, pengalaman, kemampuan bekerja, kebolehan dan latar belakang akademik pemimpin mereka.
Malahan, Mohd Puad menganggap tidak mustahil tiga calon heavyweight daripada Johor iaitu Mohamed Khaled, Hasni dan Azalina mampu menyapu bersih jawatan itu.
Sebagai contoh, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menjelaskan Mohamed Khaled pernah menjadi Menteri Besar dan menteri kabinet; Hasni (bekas Menteri Besar dan ahli Parlimen), manakala Azalina pula pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan anggota Jemaah Menteri.
"Jadi saya berpandangan ahli UMNO tidak terlalu memikirkan soal kenegerian atau kem-kem, malah ada kemungkinan ketiga-tiga jawatan Naib Presiden UMNO dimenangi oleh pemimpin dari Johor.
"Ini bukan sesuatu yang mustahil kerana suatu ketika dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menang jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan sama biarpun kedua-duanya dari Pulau Pinang,” jelasnya.
Mohd Puad juga menegaskan tidak timbul lagi soal pertembungan kem Presiden, penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Hishammuddin kerana tiada pertandingan untuk merebut dua jawatan tertinggi parti.
"Pada saya tidak timbul soal kem Presiden, Ismail Sabri atau Hishammuddin pada pemilihan kali ini kerana tiada pertandingan jawatan Timbalan dan Presiden UMNO.
"Jadi tidak timbul soal Team A dan Team B, namun mungkin ada calon Naib Presiden yang membentuk pakatan atau kerjasama antara satu sama lain dalam kempen supaya mendapat lebih banyak sokongan perwakilan,” tambah beliau.
Klik di sini untuk terus membaca