KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja, atau KWSP, kini ditambah satu fungsi baharu – tunai kecemasan.
Fungsi terbaru tersebut diperkenalkan sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19, disusuli dengan kemendungan ekonomi yang sangat ketara akibat perintah kawalan pergerakan sehingga menyebabkan pelbagai sektor pekerjaan dalam negara kehilangan daya tenaga untuk terus beroperasi.
Sebagai salah satu talian hayat bagi meringankan beban hidup jutaan rakyat yang pada waktu itu terpaksa ikat perut kerana kehilangan punca pendapatan, kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan membenarkan rakyat yang mempunyai akaun KWSP untuk mengeluarkan wang simpanan mereka secara bersyarat.
Langkah drastik tersebut dilakukan kerana ia dianggap sebagai salah satu pendekatan yang memberi kelegaan langsung paling pantas kepada majoriti rakyat yang telah ketandusan sumber kewangan untuk terus hidup dalam situasi pandemik yang mengunci pergerakan dan mata pencarian mereka.
Namun, pendekatan yang diilhamkan dulu sebagai langkah sementara untuk menyelamatkan nyawa kini telah bertukar menjadi modal populis demi meraih sokongan politik tanpa mengambil kira risiko jangka panjang yang perlu ditanggung sendiri oleh para pencarum.
Bagaikan kempen pemasaran kopi jantan, pengeluaran KWSP kini dijulang oleh pihak tertentu sebagai jamu paling mujarab untuk selesai masalah ketandusan sumber kewangan, walaupun hakikatnya pencarum pernah lakukan perkara yang sama tetapi tetap berada di takuk lama, elemen terbaru hanyalah konsep ‘pengeluaran bersasar’.
Persoalannya, siapa yang sanggup dipertanggungjawabkan sekiranya ‘pengeluaran bersasar' ini sekali lagi tersasar daripada objektif penyelesaian masalah ekonomi individu?
Adakah akan muncul nanti tuntutan ‘pengeluaran KWSP bersasar 3.0’ untuk mengeluarkan RM5 terakhir dalam akaun pencarum bagi menyelesaikan bil air rumah?
Pola reaksi para netizen mengenai isu ini, malangnya amat jelas mengikut garisan kaum.
Netizen sesetengah kaum, mengikut pemerhatian di media sosial, ramai yang menekan kerajaan agar pengeluaran KWSP dibenarkan sekali lagi tanpa menghiraukan segala amaran dan nasihat yang diberikan ramai pakar ekonomi dan kewangan mengenai impak perit jangka panjang pabila pencarum telah cecah usia bersara.
Netizen sesetengah kaum lagi dilihat tidak setuju dengan pendekatan jangka pendek tanpa mengambil kira kerosakan jangka panjang termasuk impak ke atas keupayaan melabur KWSP yang mampu menjana dividen secara konsisten demi manfaat para pencarum, di samping berpegang kepada prinsip tidak mahu menggadaikan simpanan hari tua semata-mata hendak selesai satu masalah yang masih boleh ditangani melalui alternatif yang lain.
Pokok pangkalnya, isu pengeluaran KWSP telah tersasar daripada naratif ekonomi dan kini lebih menjadi modal picisan ahli politik untuk bermain sentimen pada suasana suhu politik tinggi yang membutakan segala kewarasan.
Isu ini juga membuka mata ramai pihak terhadap falsafah asas pengurusan kewangan yang ternyata amat berbeza antara kaum.
Adakah ini satu kenyataan yang bersifat perkauman? Mungkin benar, sekiranya anda lebih tertarik kepada naratif populis berbanding fakta dan data saintifik.
Tatkala ahli-ahli politik yang mampu bercuti di London, Dubai dan New Zealand bergendang mengenai pengeluaran KWSP, sedarlah bahawa kamu sedang dan barangkali telah menggadaikan hari tua jutaan pencarum kerana anda hanya menjaja air liur, tetapi yang ditarah adalah wang ringgit simpanan rakyat marhaen yang kini tinggal tak seberapa.
Apa kata kalau ahli politik membelanjakan bajet percutian mereka untuk skim pemberian sedekah bersasar sebagai alternatif kepada pengeluaran KWSP bersasar?
Sekadar cadangan.
* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.
Klik di sini untuk terus membaca