SELASA lalu senarai calon-calon bertanding bagi pemilihan UMNO penggal 2023-2026 telah pun diumumkan secara rasmi.
Untuk rekod, jumlah calon kali ini mencatatkan penurunan ketara yang mana seramai 270 calon telah mengesahkan pencalonan berbanding 518 calon penggal sebelumnya.
Keputusan parti untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi mungkin menyebabkan penurunan itu.
Pertama, dengan dua jawatan itu tidak dipertandingkan, kegusaran bahawa pihak yang mendapat restu Presiden berkemungkinan punya kelebihan menjadi pertimbangan.
Kedua, dengan pembersihan UMNO sebelumnya, penyisihan tokoh-tokoh berani dan progresif menyebabkan kurang calon yang berkualiti. Malah keputusan bekas Perdana Menteri dan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak mempertahankan jawatannya juga antara impaknya.
Namun begitu, pemilihan UMNO tetap menarik perhatian. Ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Pertama sejauh mana pemilihan kali ini benar-benar mencernakan perubahan yang membawa kebangkitan.
Kedua, menjangkakan kem Presiden akan menguasai pemilihan, apakah ia akan diterima baik oleh akar umbi parti dan positif di mata persepsi.
Ketiga, kalau ada kejutan dengan calon bukan kem Presiden menang dan menguasai jawatan-jawatan kanan tersebut, bolehkah mereka bekerjasama dengan pantas memandangkan enam Pilihan Raya Negeri( PRN) bakal tiba.
Beberapa perspektif berikut mungkin menjadi kerangka pemerhatian pemilihan kali ini. Pertama, naratif yang melatari pemilihan tidak menggambarkan perubahan yang sebenar. Isunya sudah tentu retorik pendemokrasian dan peremajaan UMNO yang paradoks dalam pemilihan.
Dari awal usul tiada pertandingan dua jawatan utama parti membungkam rencana itu. Maka pendemokrasian apakah yang akan dihasilkan kalau permulaannya sudah melanggar tujuan. Bukankah tujuan pemilihan itu sendiri untuk menyuburkan demokrasi dalam parti?
Kemunculan semula tokoh lama serta kurangnya nama-nama baharu bertanding tidak menggambarkan peremajaan dan selari dengan rencana ‘move forward’ UMNO. Ia membenarkan sangkaan bahawa UMNO ketandusan pemimpin dan masih terperangkap dengan peremajaan yang dipimpin orang lama.
Ditakdirkan tokoh-tokoh ini menang dalam pemilihan kelak, ia mengabsahkan persepsi umum bahawa UMNO adalah parti sukar berubah, tandus pemimpin dan dicengkam budaya ‘warlord’ yang feudal.
Kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin mungkin menjadi asas terbaik untuk pemilihan parti.
Menurut beliau pemilihan UMNO seharusnya menjadi proses dalaman parti bagi membentuk kepemimpinan dan pasukan yang boleh memulihkan parti, bukannya melonjak individu tertentu.
Cumanya dalam sesebuah organisasi, apatah lagi parti politik, realiti sebenar jauh daripada ideal. Sejarah pertandingan pemilihan UMNO sinonim dengan ‘perang kem’ adalah sesuatu yang sukar dielakkan.
Justeru apakah kali ini akar umbi UMNO punya nyali untuk menongkah arus atau sebaliknya? Kerana di sebalik persetujuan umum bahawa UMNO itu lebih besar daripada mana-mana individu, pemimpin masih menjadi aktor terpenting dalam parti.
Namun ketokohan pemimpin juga tidak bermakna kalau ia tidak disokong dengan sebuah pasukan yang kuat dan cekap. Kerana keduanya akan membentuk sinergi yang membolehkan parti bekerja dan berorganisasi.
Justeru itulah dalam konteks pemilihan UMNO, keseimbangan itulah yang sukar dicari. Dari satu segi, akar umbi mahukan pemimpin yang berwibawa dan membentuk pasukan yang mantap.
Namun dalam masa sama, mereka dihidangkan dengan pilihan yang terhad dan berasa waswas. Kerana apa juga pilihan yang mereka ada ketika ini tidak membawa kepada perubahan sepertimana diharapkan.
Dilemanya, akar umbi mungkin melihat menyokong kem Presiden akan meneruskan agenda pembersihan parti yang terpaksa mengorbankan individu-individu tertentu tetapi memberikan sebuah pasukan yang mantap untuk Presiden dan parti mengharungi enam PRN dan perubahan semasa.
Namun, berbuat demikian akan membuka lebih banyak persoalan dan persepsi kepada parti, sesuatu yang sudah pun menghukum UMNO sejak sekian lama.
Ketika ini UMNO masih tidak mampu untuk menjawab segala persoalan dan persepsi yang dilontarkan bukan sahaja yang menyentuh tentang kepimpinannya, tetapi juga hala tuju parti dalam suasana politik yang sukar dan mencabar.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca