ISU gaji menjadi topik yang paling hangat dalam kalangan pekerja sama ada di sektor awam dan swasta di negara ini.
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan menaikkan gaji penjawat awam menerusi Belanjawan 2023 bertujuan untuk menyelesaikan masalah peningkatan kos sara hidup.
Menurut Cuepacs, kunci utama untuk negara keluar daripada belenggu masalah tersebut ialah dengan meningkatkan kadar gaji dan upah pekerja.
Jelas kesatuan itu lagi, faktor gaji dan upah menjadi perkara yang mendesak ketika ini kerana kadar semasa dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos sara hidup yang mendadak terutama melibatkan keperluan asas seperti makanan, kesihatan dan perumahan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta kakitangan awam untuk bersabar kerana keutamaan kerajaan pada ketika ini adalah untuk membantu orang miskin.
Malah menurut Perdana Menteri, dalam keadaan kedudukan fiskal yang tidak begitu baik ia boleh menjejaskan keyakinan pelabur kepada negara.
Keluhan tentang isu gaji juga berlaku di sektor swasta terutama melibatkan pekerja yang berpendapatan rendah walaupun pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sudah berkuat kuasa pada 1 Mei 2022.
Ini kerana Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendedahkan tidak semua syarikat yang mampu melaksanakan peraturan baharu tersebut.
MTUC mendesak agar kerajaan memastikan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pelaksanaan gaji minimum dilakukan dengan lebih tegas melibatkan majikan-majikan yang cuba mengambil kesempatan.
Sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia perlu memandang serius perkara tersebut dan bekerjasama rapat dengan MTUC bagi menyelesaikan beberapa isu yang masih belum selesai berhubung pelaksanaan gaji minimum.
Namun dalam masa yang sama kita juga menyambut baik dan memuji usaha kementerian tersebut untuk meneliti cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pelaksanaan ‘gaji kehidupan wajar’ atau living wage di negara ini.
Ini kerana Laporan Tahunan 2017 BNM menyarankan kadar gaji kehidupan wajar individu bujang dewasa menetap di bandar adalah RM2,700 manakala pasangan tanpa anak adalah RM4,500 dan pasangan dengan dua anak RM6,500.
Cadangan BNM mengenai kadar gaji kehidupan wajar bertujuan menjamin taraf hidup yang minimum untuk pekerja melalui pembayaran gaji dan upah mencukupi untuk menjalani kehidupan berkualiti.
Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh BNM menerusi Prospek dan Dasar pada Tahun 2018, gaji kehidupan wajar berbeza daripada gaji minimum dalam beberapa aspek.
Pertama, gaji kehidupan wajar lazimnya bukanlah keperluan berkanun kepada ekonomi, tidak seperti gaji minimum.
Kedua, gaji kehidupan wajar tidak hanya merujuk kepada aras ganjaran minimum, tetapi juga taraf hidup minimum yang boleh diterima.
Maka, kadar gaji kehidupan wajar biasanya lebih tinggi daripada kadar gaji minimum terutamanya jika kadar gaji minimum jarang dikemas kini selaras dengan peningkatan kos sara hidup.
Ketiga, penentuan gaji kehidupan wajar adalah bersandarkan terutamanya pada kos sara hidup manakala gaji minimum memberi pertimbangan kepada faktor tambahan seperti kesannya kepada guna tenaga dan pewujudan pekerjaan kerana gaji minimum merupakan suatu keperluan perundangan.
Sehubungan itu, kita semua berharap agar ekonomi negara akan terus menunjukkan pemulihan dan lebih baik pada masa depan supaya isu gaji ini diselesaikan secara menang-menang diantara majikan dan pekerja.
Amat penting kestabilan politik dalam negara ini menjadi satu prasyarat untuk memastikan usaha meningkatkan ekonomi dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca