HARI ini genap 100 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PMX). Hal ini susulan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendapat sokongan 148 daripada 222 ahli Parlimen untuk mengetuai... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini genap 100 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 (PMX).

Hal ini susulan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendapat sokongan 148 daripada 222 ahli Parlimen untuk mengetuai Kerajaan Perpaduan dan kekal menerima kepercayaan mereka melalui usul undi percaya kepimpinan beliau di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu.

Antara kejayaan terbesar dicapai Anwar dalam tempoh 100 hari termasuk berjaya memujuk parti yang pernah menjadi 'musuh ketat' PH seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Inisiatif itu dilihat majoriti pemerhati politik tempatan sebagai langkah signifikan bagi menamatkan kemelut politik negara yang berlarutan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hingga PRU15.

Satu lagi kejayaan terbesar Anwar adalah apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen sewaktu pengundian usul undi percaya kepimpinan beliau yang dibentangkan sebagai usul kerajaan di Parlimen.

Kejayaan itu sekali gus menutup mulut pemimpin pembangkang diketuai Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum itu mempertikaikan keabsahan pelantikan Anwar selaku Perdana Menteri.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berpandangan antara kejayaan terbesar Anwar selepas 100 hari dilantik sebagai Perdana Menteri apabila beliau menamatkan krisis politik yang berpanjangan sejak Langkah Sheraton 2020.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata Hisommudin juga berjaya menoktahkan episod drama Parlimen tergantung yang pertama kali terjadi dalam sejarah selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar di Istana Negara pada 24 November lalu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar di Istana Negara pada 24 November lalu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar di Istana Negara pada 24 November lalu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar di Istana Negara pada 24 November lalu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar di Istana Negara pada 24 November lalu. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 kepada Anwar di Istana Negara pada 24 November lalu. - Foto Bernama

"Semua parti politik menyambut baik cadangan Yang di-Pertuan Agong kecuali PN yang menolak penubuhan Kerajaan Perpaduan lebih awal dan membentuk blok pembangkang di Parlimen. Dengan kerajaan yang terbentuk hampir dua pertiga majoriti, kerajaan ini berada di posisi sangat stabil.

"Anwar juga berani mematikan cakap-cakap politik mengenai kestabilan Kerajaan Perpaduan pimpinannya dengan membentangkan undi percaya terhadapnya di Parlimen pada 19 Disember 2022 dan blok kerajaan berjaya melepasinya," katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun, Hisommuddin berkata, pada awal Januari, keutuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar teruji apabila berlaku krisis pergolakan politik di Sabah berikutan tindakan BN menarik sokongan diberikan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Berikutan itu, Anwar yang ketika itu sedang dalam rangka lawatan kerja di Indonesia terpaksa bergegas pulang ke Sabah untuk berunding dan meredakan keadaan.

Ternyata usaha Ahli Parlimen Tambun itu dengan Timbalan Perdana Menteri l yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjaya mengawal krisis berkenaan dengan baik selepas mengadakan pertemuan dengan semua wakil parti politik di Sabah.

"Kebimbangan Anwar jika krisis kerajaan Sabah tidak diuruskan dengan baik, berkemungkinan konflik itu bakal memberi implikasi besar kedudukan Kerajaan Perpaduan di Pusat memandangkan GRS dan BN merupakan antara parti komponen di dalamnya," katanya.

Dari segi tadbir urus kerajaan pula, Anwar menunjukkan kesungguhan untuk menghapuskan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana awam dengan mengumumkan perang terhadap amalan tidak beretika berkenaan.

Malah, Perdana Menteri menegaskan Malaysia mampu menyelamatkan sehingga RM10 bilion nilai kebocoran dalam sistem perolehan kerajaan sekiranya amalan rasuah dapat dihentikan di semua peringkat.

Usaha menghentikan salah guna kuasa itu termasuklah pengubahsuaian pendekatan cara lama dengan melakukan rundingan tanpa penglibatan politik atau kepentingan pihak-pihak tertentu.

"Kenyataan ini menunjukkan keseriusan sikap dan tindakan kerajaan di bawah pimpinan beliau sangat tegas mengangkat tema memerangi rasuah dan memulihkan imej negera yang tercalar di mata dunia dalam perihal rasuah ini.

"Ucapan Anwar di Parlimen juga mempamerkan sikap beliau tidak lari dari tema ini yang menjadi kekuatan kepada prinsip perjuangannya," katanya.

Seawal pentadbirannya kata Hisommudin, Perdana Menteri juga menekankan bahawa keutamaan kerajaan sekarang berusaha menangani kos sara hidup semakin tinggi dihadapi rakyat ketika ini.

Malah, Perdana Menteri sendiri mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada 27 November 2022 sebagai langkah proaktif menetapkan hala tuju kerajaan menyelesaikan isu-isu terkait kenaikan harga barangan mentah yang menekan ekonomi rakyat.

"Setakat ini usaha ini masih belum menampakkan sebarang impak ketara pada skala nasional, namun inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan Menu Rahmah mendapat pujian rakyat," katanya

Satu lagi pembaharuan diperkenalkan oleh Anwar adalah dengan memperkenalkan dasar Membangun Malaysia Madani bagi menggantikan polisi Kerajaan Keluarga Malaysia yang diketengahkan di zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Anwar juga membuat pembaharuan dari aspek turun padang meninjau rakyat apabila beliau agresif turun menemui dan mendengar sendiri masalah rakyat secara dekat sewaktu mengadakan kunjungan di masjid-masjid kawasan berbeza bagi menunaikan solat Jumaat setiap minggu.

"Dengan berbusana Baju Melayu lengkap dan turun bersolat di masjid, Anwar cuba membina imej optik bahawa beliau juga tidak kurang jiwa Islam dan Melayunya.

"Dalam keadaan sokongan kerajaan sekarang yang dikatakan kurang dukungan orang Melayu, imej sebegini dan usaha mendampingi alim ulama menunjukkan PMX menekankan imej keislaman sebagaimana zaman beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dahulu," dedah Hisommudin lagi.

Dari segi pelaksanaan manifesto pilihan raya bagi gabungan Kerajaan Perpaduan, Hisommudin melihat perkara itu masih awal untuk dibuat penilaian.

Hal ini susulan beliau berpandangan Sekretariat Kerajaan Perpaduan belum membuat sebarang penyelarasan manifesto merentasi parti komponen.

"Anwar juga menghadapi dilema di antara keperluan memberi wewenang kebebasan media dan hak bersuara dengan ancaman politik perkauman dan agama.

"Untuk mengimbangi keadaan ini, kerajaan pimpinan Anwar perlu menyediakan garis panduan jelas berkaitan etika manakah yang melanggar batas dalam konteks dan pemahaman pihak berkuasa," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca