CADANGAN supaya diwujudkan badan pengawas media di negara ini pertama kali dilontarkan pada 17 Jun 1974. Nampaknya penantian 50 tahun untuk merealisasikan impian itu berkemungkinan besar menjadi kenyataan tidak lama lagi. Jika tiada aral... Klik di sini untuk terus membaca

CADANGAN supaya diwujudkan badan pengawas media di negara ini pertama kali dilontarkan pada 17 Jun 1974. Nampaknya penantian 50 tahun untuk merealisasikan impian itu berkemungkinan besar menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Jika tiada aral melintang, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil akan ‘membidankan’ kelahiran entiti yang dikenali sebagai Majlis Media Malaysia atau MMM sebelum hujung tahun ini, atau lebih awal lagi.

Komitmen beliau untuk menjayakan penubuhan sebuah jagawan, antara lain bagi menjamin kebebasan media, di samping meningkatkan piawaian kewartawanan yang tinggi tidak lagi perlu dipertikaikan.

MMM adalah salah satu keutamaan beliau selaku menteri di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD). Buktinya, beliau telah menugaskan Timbalannya, Teo Nie Ching untuk memudahkan dan menyegerakan kelahiran MMM.

Bertindak pantas, pada 1 Mac lalu, Nie Ching bersama pasukan KKD yang akan membantu beliau melaksanakan arahan menteri berkait MMM mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Protem (AJK Protem) MMM yang dibentuk sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan antara 2018 hingga awal 2020.

AJK Protem yang diketuai oleh Premesh Chandran, ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, dibentuk sewaktu Gobind Singh Deo menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia serta diberi tanggungjawab merangka dokumen penubuhan MMM meliputi cadangan rang undang-undang dan perlembagaan MMM.

Tugas menyediakan draf rang undang-undang MMM tidak diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, sebaliknya kepada AJK Protem MMM kerana kerajaan mahu MMM yang bakal dibentuk itu dipacu oleh industri kewartawanan dan media, bukannya pemimpin politik yang berkuasa.

Malangnya, sebaik sahaja dokumen itu disiapkan, kerajaan PH tumbang pada 25 Januari 2020. Dokumen lengkap itu tidak dapat diserahkan kepada Gobind untuk diterjemahkan menjadi kenyataan, sebaliknya kepada pengganti beliau dalam kerajaan PN yang menggantikan PH, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Tetapi beliau tidak berbuat apa-apa kerana tumpuan utama kerajaan pada waktu itu adalah untuk membendung penularan wabak Covid-19. Saifuddin kemudian diganti Tan Sri Annuar Musa di Kementerian Komunikasi dan Multimedia apabila kerajaan PN tumbang. Annuar tidak menganggap penubuhan MMM sebagai keutamaan kecuali pada penghujung beliau menjadi menteri.

Dengan pergolakan politik itu, bermakna hasrat melihat kelahiran MMM turut tergendala. Namun, penubuhan Kerajaan Perpaduan PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Politik Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Rakyat Sabah (Warisan) nampaknya memberi cahaya baharu kepada impian membentuk MMM.

Pertemuan dengan Nie Ching pada 1 Mac itu diberitahu bahawa segala dokumen dikemukakan oleh Jawatankuasa Protem pada 2020 kepada kerajaan PN sebelum ini tidak sia-sia, sebaliknya akan dijadikan asas oleh Bahagian Dasar dan Bahagian Undang-undang KKD untuk menyediakan rang undang-undang MMM.

Pertemuan itu bertujuan membantu pasukan Bahagian Undang-Undang KKD melengkapkan rang undang-undang MMM mengikut acuan disediakan kerajaan meliputi status perundangan, kuasa, fungsi, pembiayaan, keanggotaan dan akreditasi majlis bagi kelulusan kabinet, seterusnya dibentangkan kepada Parlimen untuk diluluskan.

Nie Ching membayangkan jika semua berjalan lancar, rang undang-undang MMM mungkin akan dapat dibentangkan paling awal pada persidangan Dewan Rakyat, Mei atau Julai ini, atau paling lewat sebelum hujung tahun.

Bagi AJK Protem yang hadir pada pertemuan tersebut, bayangan dizahirkan Nie Ching adalah berita menggembirakan. Susah-payah mereka menyediakan dokumen diperlukan mengenai MMM yang mengambil masa setahun dianggap berbaloi. Mereka tidak perlu mengulang semula kerja-kerja yang dilakukan selama ini.

Ranjau terbesar ke arah merealisasikan MMM sudah kita lepasi. Halangan seterusnya untuk tiba ke garisan penamat adalah rintangan birokrasi yang ditugaskan oleh KKD bagi menggubal rang undang-undang MMM itu sendiri.

Kalau mereka faham tekad tuan-tuan politik yang mahu MMM ditubuhkan segera, mereka tidak akan melengahkan penyediaan kerangka perundangan diperlukan bagi merealisasikan pembentukan MMM. Moga urusan melahirkan MMM dipermudahkan.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Klik di sini untuk terus membaca