DALAM pementasan Waiting for Godot oleh Samuel Beckett, Godot (dibunyikan Godoh) tidak muncul sehinggalah akhir persembahan. Namun, dua watak utama cerita itu, Vladimir dan Estragon tidak membazirkan masa begitu sahaja menunggu Godot. Mereka berbincang dan berbahas pelbagai perkara.
Situasi kita sekarang lebih kurang macam itu juga. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah jadi Perdana Menteri lebih tiga bulan, belanjawan sudah lebih seminggu dibentangkan semula dan Bursa Malaysia sudah lima hari berniaga di bawah belanjawan baharu.
Macam Godot yang tidak kunjung tiba, harga saham di Bursa Malaysia pun tidak naik-naik. Paling baik pun mendatar. Kadar tukaran ringgit lebih kurang sama.
Boleh jadilah Indeks Komposit Bursa Malaysia (KLCI) dan kadar tukaran ringgit bukan lagi kaedah penarafan segera ekonomi Malaysia. Atau mungkin pasaran modal sudah tolak sebelah (discounted) kesan jangka pendek belanjawan.
Kita andaikan pasaran modal masih menghadam belanjawan atau terkena ‘sembelit’ tetapi mengapakah ia juga dingin terhadap berita baik mengenai sektor korporat?
Beberapa hari kebelakangan ini, banyak syarikat yang diniagakan di Bursa Malaysia melaporkan keuntungan luar biasa besarnya. Berita gembira itu sepatutnya menolak naik harga. Apatah lagi, sebahagian daripada yang untung besar itu adalah komposisi KLCI.
Sebelum itu, pada 10 Februari, Bank Negara mengumumkan ekonomi telah pulih dengan pesat. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) naik 8.7 peratus pada 2022 iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 22 tahun.
Kali terakhir Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan lebih tinggi pada 2000 iaitu 8.86 peratus. Namun, berita gembira itu gagal menolak naik pasaran saham, sebaliknya turun.
Sejak itu lagi banyak berita baik diumumkan oleh syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Misalnya, Maybank Berhad mengumumkan keuntungan bersih RM8.23 bilion bagi tahun berakhir 31 Disember 2022. Maybank dikuasai oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Durian runtuh juga berlaku kepada CIMB Group Holdings Bhd yang mencatatkan keuntungan bersih RM6.21 bilion pada 2022 iaitu meningkat 33.5 peratus dari tahun 2021.
Pendapatan meningkat kepada RM19.84 bilion daripada RM19.51 bilion. CIMB ialah milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan kedua terbesar di Malaysia.
Public Bank Berhad, bank ketiga terbesar merakamkan keuntungan bersih RM6.12 bilion berbanding RM5.66 bilion.
Boleh dikatakan semua bank termasuk bank-bank kecil mencatatkan prestasi lebih baik ketika sebahagian besar rakyat masih bergelut dengan kesan buruk Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Begitu juga syarikat pengilangan, khususnya dalam bidang makanan. Mereka juga membuat keuntungan besar pada saat pengguna ditekan oleh kenaikan harga dan kekurangan bekalan.
Misalnya, keuntungan Kumpulan PPB Berhad meningkat RM2.2 bilion bagi tahun 2022 berbanding RM1.5 bilion tahun sebelumnya, sementara FGV Holdings Bhd (FGV) mencatatkan keuntungan tertinggi sejak disenaraikan pada 2012 sebanyak RM2.33 bilion berbanding RM1.84 bilion tahun sebelumnya.
Pada Belanjawan 2022, Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memperkenalkan Cukai Makmur. Cukai sekali lalu (one-off) itu dikenakan pada kadar 33 peratus ke atas badan-badan korporat yang membuat keuntungan besar.
Namun, pada Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula oleh Anwar, cukai itu tidak diteruskan. Maka, tidak hairanlah kalau ‘doyan’ sektor korporat macam Pengerusi Bursa Malaysia Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar menarik nafas lega sambil mengalu-alukan kemurahan hati Perdana Menteri.
Kesimpulannya, inilah kekangan dalam pertumbuhan ekonomi dan pembahagian kekayaan negara kita yang semakin tidak seimbang sejak beberapa dekad kebelakangan ini.
Selain itu, wujud tanda-tanda berlakunya manipulasi pasaran bagi mendapatkan keuntungan berlebihan dan melakukan rasuah dengan mengambil kesempatan daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi serta gangguan kepada rantaian bekalan.
Boleh jadi kita tidak tahu atau kerajaan tidak mahu mengaku tetapi pelabur asing dan tempatan tahu, dan mereka tidak yakin atau belum cukup yakin dengan situasi negara kita. Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca