ISNIN lalu, saya diminta memberikan ceramah eksekutif berkaitan Maqasid Syariah dalam undang-undang jenayah syariah, anjuran Pejabat Penguat kuasa Agama Islam Negeri Perak. Saya bercakap mengenai memperkasa penguat kuasa agama secara umum.... Klik di sini untuk terus membaca

ISNIN lalu, saya diminta memberikan ceramah eksekutif berkaitan Maqasid Syariah dalam undang-undang jenayah syariah, anjuran Pejabat Penguat kuasa Agama Islam Negeri Perak.

Saya bercakap mengenai memperkasa penguat kuasa agama secara umum. Dalam melaksanakan undang-undang jenayah syariah, tiga badan penting selain peguam syarie ialah mahkamah syariah, pendakwa syarie dan penguat kuasa agama.

Kita sering mendengar usaha kerajaan memperkasakan mahkamah syariah sebagai elemen penting pentadbiran keadilan bagi orang Islam di Malaysia. Pelbagai kejayaan dan kemajuan telah dicapai mahkamah syariah dari masa ke masa.

Institusi mahkamah syariah menjadi tanda aras dan diikuti oleh mahkamah-mahkamah lain dalam beberapa aspek. Jelaslah usaha itu adalah manifestasi kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan mahkamah syariah.

Badan-badan seperti pendakwa syarie dan penguat kuasa agama juga tidak kurang pentingnya bagi menegakkan pentadbiran keadilan syariah.

Pendakwa syarie ialah orang yang bertanggungjawab mendakwa orang disyaki telah melakukan kesalahan di sesebuah negeri, sementara penguat kuasa agama ialah orang yang menyiasat dan mengumpulkan bukti bagi mendakwa orang yang melakukan kesalahan.

Pendakwaan syarie sudah mula menjalani proses transformasi apabila kebanyakan negeri di Malaysia telah memisahkan pendakwaan syarie daripada jabatan agama negeri masing-masing.

Pemisahan itu memberikan ruang lebih besar untuk pendakwaan syarie bertindak lebih profesional dan bebas. Namun, ketika ini status penguat kuasa agama masih belum berubah di kebanyakan negeri. Mungkin sudah sampai waktunya kerajaan menumpukan perhatian menyusun semula penguat kuasa agama dari sudut kekuatan sumber manusia, latihan, pendedahan dan operasi.

Kes-kes jenayah yang dirujuk ke mahkamah syariah pula semakin hari semakin kompleks, khususnya dengan munculnya pelbagai ajaran sesat.

Pembunuhan Ketua Penguat kuasa Agama Pahang suatu ketika dahulu yang disyaki mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau menyiasat kes-kes ajaran sesat adalah bukti jelas perlunya dinilai kembali sistem dan kebajikan pegawai-pegawai di kedua-dua sektor berkenaan.

Bilangan terlalu sedikit bagi melaksanakan kes jenayah syariah amatlah menyedihkan terutama bagi negeri yang mempunyai saiz besar seperti Sarawak, Pahang dan Perak.

Prosedur operasi standard (SOP) perlu dibangunkan oleh kerajaan supaya lebih adil, berwibawa dan telus. Dengan adanya SOP itu, ia mampu meminggirkan segala tohmahan tidak berasas mengenai tindakan penguat kuasa agama sebagaimana sering kita baca.

Mahkamah syariah, pendakwa syarie dan penguat kuasa agama mestilah dibangunkan seiring. Tiada guna kita mempunyai kemudahan mahkamah bertaraf dunia jika pihak pendakwa dan penguat kuasa agama masih tidak menjalankan kerja mereka secara profesional serta diberi kebebasan mengamalkan tindakan mereka.

Sudah pasti perubahan ketiga-tiga badan itu akan menjadi tanda aras baharu kepada sistem perundangan syariah di Malaysia yang akhirnya akan dinikmati oleh rakyat Malaysia sendiri.

Kini kebanyakan negeri telah mempunyai Jabatan Pendakwaan Syarie sendiri, namun bagi penguat kuasa agama, mereka masih duduk di bawah jabatan agama Islam negeri masing-masing.

Selain latihan berterusan, penguat kuasa agama perlu bebas menjalankan fungsi mereka. Undang-undang khusus untuk mereka perlu digubal bagi memastikan kebebasan dapat dilaksanakan. Penguat kuasa agama seperti juga polis perlu menjalankan tugas dengan adil dan saksama, bebas tekanan atau arahan.

Sudahlah undang-undang khusus bagi penguat kuasa agama tiada, peruntukan kemudahan dan peralatan diberikan kepada mereka juga sangatlah minimum.

Apabila berlaku kelewatan atau kesilapan dalam kalangan penguat kuasa agama, orang awam cepat mencemuh mereka tanpa memeriksa kenapa kelewatan atau kesilapan itu berlaku.

Kita sudah mempunyai mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Kita juga mempunyai pendakwa raya dan pendakwa syarie tetapi apabila kita sudah mempunyai polis, kita masih belum mempunyai polis syariah.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Klik di sini untuk terus membaca