KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 menunjukkan trend pengundian dalam kalangan pengundi Melayu melalui perubahan ketara.
Perikatan Nasional (PN) menang 74 kerusi (Pas - 43, Bersatu - 31), sementara UMNO menang 26 kerusi (2004-109; 2008-79; 2013-88; 2018-54 dan 2022-26).
Kekalahan beberapa individu dominan seperti di Langkawi, Jerlun, Permatang Pauh, Sungai Buloh, Kepala Batas, Putrajaya, Gua Musang, Padang Besar, Pasir Salak, Gerik, Padang Rengas, Tanjong Karang dan Kulim Bandar Baharu wajar diperihalkan, sebagaimana kemenangan calon PN di Arau, Kepala Batas, Tasek Gelugor, Hulu Selangor, Permatang Pauh, Putrajaya, Langkawi dan Kapar agak menarik.
Pas-PN menjadi pilihan dominan di kawasan majoriti Melayu-Islam, membolosi kerusi tradisi Baling, Padang Terap, Pokok Sena, Kuala Langat, Hulu Langat dan Mersing.
Apa berlaku pada PRU15 ke atas sokongan orang Melayu? Lemahkah gelombang biru, kuatkan gelombang hijau? Analisis yang dilakukan menunjukkan bahawa kemerosotan sokongan ke atas UMNO adalah keterhakisan ‘perpaduan dalaman’ dan tidak semestinya kekuatan lawan (barangkali akan diuji pada Pilihan Raya Negeri di enam negeri).
Selepas PRU 2004, sokongan ke atas UMNO ketara kemerosotannya dan 2018 hilang dominasinya sehingga kini. Pemilihan UMNO pada 18 Mac ini sangat getir untuk menaikkan semangat ‘UMNO Kita’ yang dibawa oleh Datuk Seri Azalina Othman, calon Naib Presiden UMNO wanita yang berkarisma.
Pertambahan parti berteraskan Melayu-Islam memerlukan intervensi intra etnik yang berbeza. Selain UMNO dan Pas, kini ada Bersatu, Amanah, Pejuang, Berjasa dan Putra.
Dalam konteks sedemikian rupa, apakah Gelombang Hijau semakin kuat dan bolehkah ia menjadi sesuatu yang bersifat tetap? Pas popularitinya semakin membesar (2004-7; 2008-23; 2013-14; 2018-18; 2022-43) yang menjadi tulang belakang kepada PN.
Malah, di kerusi Felda, BN kekalkan hanya 15 daripada 53 kerusi Felda pada PRU15. Itu adalah daripada 30 yang dimenanginya (PRU13-47; PRU 14-26). Jika PRU14 hampir semua kerusi luar bandar memihak UMNO, PRU15 adalah milik Pas.
Kelompok pengundi muda, pertama kali undi dan undi protes serta atas pagar berkalih kepada blok penggabungan PN. Walaupun Bersatu menang lebih banyak kerusi daripada UMNO, di manakah Bersatu tanpa Pas?
Apakah tindakan Pas jika saga yang sedang dihadapi oleh Bersatu berpanjangan? Apakah senario elit ‘penaungan politik’ akan berpanjangan? Ia boleh mencorakkan trend pengundian orang Melayu.
Pas dan PN kukuhkan tapak di kerusi pengundi sebanyak 70 peratus dan lebih pengundi Melayu. Pengundi disantuni dengan santai. Dominasi media sosial khususnya pendakwah bebas dan tokoh agama yang menyampaikan tazkirah di YouTube, Facebook serta TikTok mencuri perhatian.
Pilihan diberi kepada pengundi - kemampuan Pas menjaga isu Melayu-Islam. Perang saraf gelombang hijau menjadi tanpa disedari. Bahan kempen yang mengetengahkan sentimen agama/kaum mewujudkan kebimbangan.
Kerajaan Perpaduan, pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mengimbangi isu etnik bagi menyaingi dominasi PN, apatah lagi enam PRN akan diadakan tidak berapa lama lagi.
Ia juga cabaran 100 hari pentadbiran Perdana Menteri. Politik digital membawa kesan besar ke atas ‘perpaduan ummah’.
Pas-PN belum menjadi pilihan tetap. PRN bakal melihat keabsahan itu. Jaringan pendidikan Islam dan politik madrasah menjadi signifikan. Di mana ada padi, di situ ada pondok, di mana ada pondok, di situ ada Pas. Juga, sebahagian masyarakat bandar, kelas menengah dan profesional menjadikan agama sebagai identiti mereka.
‘Outreach keagamaan’ dan kebajikan sosial kekal popular. Pas juga tidak menampakkan perselisihan dalaman. Akar umbinya berasaskan kepada ideologi.
Polemik politik Melayu pasca PRU15 akan berterusan. Sama-sama kita cuba fahami langkah selepas ini ke atas gelombang hijau dan gelombang biru.
Pastinya, politik adalah dinamik. Apa-apa boleh berlaku selepas ini termasuk kebangkitan dalam UMNO, mahupun Pas sendiri.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca