KUANTAN - Kejadian kepala air, banjir lumpur dan tanah runtuh di Jalan Lama Gombak-Bentong pada bulan lalu bukan disebabkan pencerobohan Hutan Simpan Bukit Tinggi bagi tujuan pertanian. Sebaliknya, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,... Klik di sini untuk terus membaca

KUANTAN - Kejadian kepala air, banjir lumpur dan tanah runtuh di Jalan Lama Gombak-Bentong pada bulan lalu bukan disebabkan pencerobohan Hutan Simpan Bukit Tinggi bagi tujuan pertanian.

Sebaliknya, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin menjelaskan, bencana itu sebenarnya berpunca daripada hujan lebat berterusan selama tiga jam.

Beliau berkata, rekod taburan hujan 67.5 milimeter (mm) dalam tempoh itu dikategorikan sangat lebat sehingga boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat.

"Hasil siasatan di lapangan mendapati memang terdapat aktiviti pencerobohan bagi tujuan pertanian di kawasan itu, namun keluasannya hanya sekitar dua hektar dan bukan 3,900 hektar sebagaimana yang didakwa.

"Keluasan 3,900 hektar itu adalah kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi berhampiran Genting Sempah dan bukan keseluruhan kawasan diceroboh bagi tujuan pertanian halia,” katanya di sini pada Sabtu.

Menurut Mohd Hizamri, hasil tinjauan di lapangan juga mendapati tiada aktiviti pembalakan tanpa kebenaran dikesan di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan juga mendapati terdapat kesan-kesan tanah runtuh di sepanjang larian air akibat hujan yang terlalu lebat,” ujarnya.

Jelas beliau, kawasan yang diceroboh untuk aktiviti tanaman halia di kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi telah diambil tindakan melalui operasi bersepadu Unit Penguat kuasa (Zon Pahang Barat) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bersama Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong, polis, Pejabat Daerah dan Tanah Bentong (PDTB) dan Unit Penguat kuasa Negeri Pahang (UPNP).

"Kebun haram itu berjaya dikesan selepas kakitangan PHD Bentong membuat pemeriksaan laluan air ekoran kejadian kepala air, banjir lumpur dan tanah runtuh di Jalan Lama Gombak-Bentong.

"Kawasan yang diteroka untuk tanaman halia itu berada di lereng bukit berbatu tanpa jalan dan diusahakan tanpa menggunakan jentera bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pekebun juga dipercayai menggunakan laluan tikus untuk membawa keluar hasil,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan selama tiga hari itu melibatkan kerja-kerja memusnahkan tanaman dan penanaman semula pokok hutan di kawasan kebun haram tersebut.

"Tindakan tegas perlu diambil kerana perbuatan itu satu kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh kawasan hutan simpan.

"JPNP akan meningkatkan pemantauan di kawasan Hutan Simpan Bukit Tinggi bagi mengelak kegiatan pencerobohan untuk aktiviti pertanian terus berlaku,” jelasnya.

Menurutnya, kemudahan pemantauan hutan oleh Remote Sensing (FMRS) dan dron turut digunakan bagi memantau kawasan hutan dan bukit yang sukar dimasuki.

"JKNP mengesyorkan kawasan yang diceroboh dilaksanakan program restorasi atau tanaman semula pokok spesies hutan,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca