SHAH ALAM - Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat Kerajaan Perpaduan banyak melaksanakan perkara yang pernah ditentang sebelum ini.
Ujar beliau, ini termasuk polisi individu yang dilantik sebagai Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan Menteri Kewangan.
"Mereka juga pernah menentang isu pelantikan ahli keluarga dalam kerajaan tetapi kita dapat lihat mereka telah lakukan perkara tersebut.
"Secara tidak langsung, keadaan hari ini telah pun mencalarkan pencapaian 100 hari mereka,” katanya kepada Sinar Ahad.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, kerajaan hari ini tidak memfokuskan kepada manifesto yang dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum ke-15.
"Mereka terlalu banyak melontarkan idea tetapi tidak melaksanakannya.
"Kini apabila sudah menjadi kerajaan, mereka tidak mampu melaksanakan perkara berkenaan sedangkan hal itu yang sering disebut-sebut,” jelasnya.
Tegas beliau, inisiatif seperti mewujudkan Menu Rahmah adalah bersifat program dan bukannya polisi kerajaan.
Ujarnya, rakyat perlukan polisi untuk mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa kerajaan kini ada juga menyentuh masalah rakyat cuma ia masih tiada penyelesaian.
"Contohnya isu telur, orang ramai pertikai mengapa kita import telur dari India sedangkan kita pengeksport bahan mentah itu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca