BELALANG pun hairan, kenapa dalam banyak-banyak haiwan di dunia, kera, beruk dan lotong memang popular di Parlimen Malaysia.
Haiwan-haiwan ini kerap digunakan untuk dirujuk kepada ahli Parlimen lain apabila perbahasan sedang panas.
Sudahnya yang Belalang tengok, Speaker pening kepala apabila seorang wakil rakyat gelar lawannya kera, yang sorang lagi panggil beruk.
Bulan lepas perang gelaran kera, beruk berlaku antara YB Pendang dan YB Hulu Langat.
Khabarnya ia hanya dapat didamaikan apabila Speaker, Datuk Johari Abdul terpaksa buat pertemuan khas kedua-dua YB berkenaan di pejabatnya.
Begitulah dahsyatnya penangan gelaran kera dan beruk. Selepas beberapa minggu, Belalang ingat sudah selesai gelaran-gelaran haiwan ini di Dewan Rakyat.
Rupa-rupanya beberapa hari lepas tercetus lagi perang gelaran kera. Kali ini giliran YB Arau dengan YB Hulu Langat pula.
Walaupun drama dan kekecohan seperti itu jadi warna warni memeriahkan Dewan Rakyat, tapi bagi Belalang kurang-kurangkanlah bergaduh sebab gelaran binatang ini.
Jangan sampai rakyat mencemuh Parlimen kita sebagai zoo pula hanya kerana tindakan beberapa pemimpin yang tidak ikut peraturan.
Elok wakil rakyat kita berdebat dan bergaduh sebab isu banjir yang tidak ada kesudahan, isu ekonomi dan masalah kos sara hidup rakyat. Tak perlulah menunjukkan contoh kurang molek kepada rakyat terutamanya anak muda yang menonton.
Bercakap pasal binatang, satu lagi haiwan yang mungkin turut kuat diseru minggu ini sudah tentunya harimau. Ia rentetan kerajaan mengumumkan pelaburan berbilion ringgit syarikat gergasi dunia Tesla dan Amazon Web Services ke Malaysia.
Ramai rakyat jelata di bawah yang lega dan gembira melihat pelaburan-pelaburan besar yang dibawa masuk.
Almaklumlah, beberapa tahun lepas terdapat trend yang kurang memihak kepada Malaysia. Antara yang Belalang ingat Apple dan Samsung memilih Vietnam untuk membuka kilangnya.
Hyundai pula menutup ibu pejabat di Malaysia dan berpindah ke Indonesia dengan pelaburan RM6.26 bilion.
IBM pun angkat kaki beberapa tahun lepas untuk ke Singapura, sehingga ada media republik itu mendakwa Malaysia bukan lagi negara yang mampu tarik pelabur.
Nampaknya, kita berjaya membuktikan sebaliknya, malah ramai yang kini mula melihat Malaysia sedang melangkah mengembalikan gelaran Harimau Asia.
Belalang harap lebih banyak pelaburan asing berbilion ringgit macam Tesla dan Amazon ini di Malaysia.
Ini kerana sudah pasti impak pelaburan tersebut akan dirasai oleh kelompok peniaga kecil, sederhana dan seterusnya rakyat umumnya.
Belalang - Tunggu Harimau Asia mengaum kuat
Klik di sini untuk terus membaca