SHAH ALAM - Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2022 tidak rendah jika dibandingkan dengan keadaan pasaran saham dan keadaan ekonomi secara keseluruhan.
Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, dividen sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah itu adalah lebih daripada yang dijangkanya.
Bagaimanapun, menurutnya, dividen tidak diberikan sebanyak tahun lalu kerana bayaran keuntungan daripada syarikat pelaburan KWSP rendah dan pasaran saham menutup di bawah paras permulaan tahun.
Tambahnya, bagi faktor bon atau sukuk pula, kenaikan kadar bunga menyebabkan harga tersebut jatuh.
"Pada saya, ia tidak rendah. Agak saya dalam lima peratus. Yang diumumkan adalah lebih tinggi daripada jangkaan saya,” katanya kelada Sinar Harian pda Sabtu.
Tambah Nungsari, meskipun KWSP mempunyai pelaburan dalam hartanah, namun pulangan tersebut juga bergantung kepada kegiatan ekonomi negara.
"Sebab itu saya kata pulangan yang diumumkan pada kadar 5.35 peratus adalah sangat baik memandangkan keadaan pasaran atau ekonomi pada tahun 2022,” jelasnya.
Menurut beliau, faktor pengeluaran KWSP yang dibenarkan kerajaan sebelum ini tidak menjadi punca kepada pengurangan dividen yang diumumkan.
Jelasnya, pengeluaran lebih RM140 bilion itu telah mengecilkan dana yang diurus dan mempunyai kesan kepada kepelbagaian portfolio.
"Mungkin ada pencairan pelaburannya terlebih awal untuk memenuhi pengeluaran, tetapi ia tidak menjejaskan dividen portfolio yang ketara.
"Sebaliknya, yang terjejas ialah mereka yang telah mengeluarkan dana persaraan mereka,” ujarnya.
Mengulas mengenai jangkaan yang bakal berlaku pada masa hadapan, beliau yakin bahawa KWSP akan terus berkembang jika ia tidak disalah guna.
"Jangan politikkan KWSP. Jangan campur tangan dengan keputusannya. Jangan letakkan orang tidak layak untuk mengurus dan mentadbirnya,” ujarnya.
Sementara itu, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Penasihat Utama Singapura di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun berkata, terdapat dua faktor menyebabkan kadar dividen yang diberikan rendah.
Jelas Ei Sun, antaranya adalah disebabkan pengeluaran KWSP yang berulang oleh pencarum sejak tiga tahun lepas bagi menampung perbelanjaan kerana terkesan akibat pandemik Covid-19.
"Pengeluaran yang banyak ini telah menghabiskan dana pelaburan KWSP dengan ketara,” ujarnya.
Tambah Ei Sun, faktor lain ialah banyak perniagaan yang dilaburkan oleh KWSP tidak menunjukkan prestasi yang baik semasa pandemik Covid-19.
"Oleh itu dividen menjadi rendah. Ini dua faktor yang saya dapat nyatakan mengapa dividen rendah berbanding tahun sebelum ini,” katanya.
Beliau berharap, dengan pemulihan ekonomi yang dilakukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengeluaran KWSP akan menjadi lebih sedikit dan perniagaan yang dilaburkan akan berkembang semula.
Klik di sini untuk terus membaca