SHAH ALAM - Fenomena iklim La Nina dikatakan menjadi punca utama kejadian hujan lebat yang mengakibatkan beberapa negeri terutama Johor dan Pahang dilanda banjir besar ketika ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin di Universiti Malaysia Terengganu, Dr Chung Jing Xiang berkata, sebenarnya musim tengkujuh tidak pernah mengalami tempoh peralihan daripada bulan Disember sebagaimana tahun-tahun terdahulu kepada bulan Mac.
Namun, beliau menegaskan, musim tengkujuh dilihat bermula agak lewat dan dijangka berlanjutan hingga akhir bulan ini disebabkan tempoh berlakunya fenomena La Nina yang lebih panjang.
"Musim tengkujuh tidak mengalih ke bulan Februari hingga Mac tetapi untuk tahun ini, nampaknya ia berlanjutan ke akhir bulan ini. Fenomena ini dipercayai ada kaitan dengan fenomena La Nina luar biasa yang telah berlaku sejak tahun 2020.
"Pusat tekanan rendah ini memainkan peranan membawa kelembapan yang tinggi dan hujan lebat ke kawasan Johor (Selatan Semenanjung),” katanya kepada Sinar Premium.
Dalam pada itu, Jing Xiang bagaimanapun menegaskan, fenomena hujan lebat berkenaan dijangka tidak berterusan hingga bulan April dan Mei depan.
Menurutnya, ini kerana Malaysia akan memasuki tempoh peralihan musim kepada musim panas kering akibat fenomena El Nino dalam masa terdekat.
"Saya rasa tidak mungkin hujan lebat berterusan hingga Mei, sebab apabila masuk musim peralihan angin lazim akan bertukar arah, kita akan masuk musim pengantaraan Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya yang bakal menyebabkan berlaku hujan di waktu petang pula.
"Fenomena ini (hujan lebat) dijangka berakhir tidak lama lagi sebab kita telah masuk musim bunga, angin utara akan menjadi makin lemah.
"Sebenarnya negara kita memang ada risiko dilanda banjir, cuma kawasan mana yang terkena banjir akan bergantung kepada keadaan atmosfera,” ujarnya.
CURAHAN HUJAN MENINGKAT
Pakar Meteorologi dan Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Samudera dan Bumi, Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah pula berkata, fenomena iklim La Nina yang melanda Malaysia-Indonesia sejak 2020 menyebabkan curahan hujan di negara ini meningkat 10 hingga 20 peratus lebih daripada kebiasaan.
Katanya, fenomena La Nina di rantau ini menyebabkan suhu Laut China Selatan lebih panas daripada biasa, sementara suhu di Siberia lebih rendah semasa musim sejuk.
"Sekiranya suhu di Siberia lebih sejuk daripada biasa, ia akan merangsang luruan udara sejuk yang diistilahkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia sebagai luruan monsun untuk lebih kerap terjadi dan juga lebih kencang.
"Hujan lebat sangat berkait dengan kekuatan luruan monsun ini dan dikukuhkan lagi sekiranya ada lekukan yang boleh mengatur sistem hujan untuk bertahan hujan lebat lebih daripada 48 jam.
"Justeru fenomena berke-naan akan menghasilkan banjir. Jadi dari 2021 hingga ke awal 2023, banyak kejadian banjir bukan sahaja di Malaysia tetapi di Selatan Thailand, Indonesia dan utara Australia,” katanya.
Beliau berkata, kejadian banjir besar bukan sahaja menyebabkan kerugian berjuta ringgit setiap tahun kerana negara terkesan akibat curahan hujan berkenaan, malah turut mengakibatkan berlaku tanah runtuh.
Bagaimanapun, menurutnya, La Nina kini sedang melemah dan diramal pada musim bunga nanti, rantau ini akan dipengaruhi oleh ENSO-neutral.
"Ada model yang meramal bahawa akhir tahun mungkin terbalik kepada El Nino pula.
"Ini akan menyebabkan suhu permukaan laut di rantau ini sejuk daripada biasa dan suhu permukaan laut di sentral Pasifik panas.
"Jadi, curahan hujan akan tertumpu ke sentral Pasifik dan rantau ini akan mendapat kurang hujan serta kemarau. Ini akan menyebabkan jerebu jika petani di Indonesia membakar kawasan paya gambut,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengerusi Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, fenomena hujan lebat luar biasa serta berintensiti tinggi itu menyebabkan banyak kawasan di Johor terutama daerah Segamat dilanda banjir besar yang tidak pernah berlaku sejak 20 tahun lalu.
Menurut Ibrahim, kawasan Segamat memang sering dilanda banjir, namun paras airnya tidaklah setinggi paras yang berlaku sekarang sehingga menyebabkan kerugian dianggar mencecah berjuta ringgit.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kerugian sebenar akibat kerosakan harta benda seperti kediaman, kenderaan dan kehilangan nyawa tidak boleh dinilai sekarang kerana paras air belum surut sepenuhnya.
"Saya dimaklumkan banjir di Johor kali ini turut menyebabkan beberapa kes kematian kerana ada orang terperangkap dalam kenderaan yang dihanyutkan oleh arus deras.
"Ini bermakna banjir kali ini lebih serius daripada sebelum ini. Kalau kita lihat kawasan Segamat dan Kota Tinggi memang biasa dilanda banjir, namun paras air tidak setinggi sekarang ini,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca