BEKAS Presiden yang juga Jeneral Pakistan, Pervez Musharraf yang memimpin negara itu dalam tempoh kacau-bilau, meninggal dunia pada 5 Februari lalu ketika berusia 79 tahun di sebuah hospital di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau... Klik di sini untuk terus membaca

BEKAS Presiden yang juga Jeneral Pakistan, Pervez Musharraf yang memimpin negara itu dalam tempoh kacau-bilau, meninggal dunia pada 5 Februari lalu ketika berusia 79 tahun di sebuah hospital di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berlepas ke Dubai meninggalkan Pakistan pada 2018 bagi mendapatkan rawatan penyakit amyloidosis dan tinggal di sana dalam buangan.

KEHIDUPAN AWAL

Musharraf dilahirkan pada 11 Ogos 1943 daripada sebuah keluarga yang fasih berbahasa Urdu di New Delhi yang merupakan tokoh berpengaruh dan berketurunan Syed atau Nabi Muhammad SAW.

Ayahnya, Syed Musharafuddin menjadi penjawat awam elit di British-India selepas menamatkan pengajian di Universiti Aligarh Muslim.

Ketika Musharraf berusia empat tahun, keluarganya berpindah ke Pakistan dan menetap sementara di negara tersebut.

Namun pada masa sama, ayahnya menyertai Perkhidmatan Awam Pakistan dan Kementerian Luar Negara yang kemudian mereka sekeluarga berpindah ke Turkiye pada tahun 1949 dan menetap sehingga 1956 sebelum kembali ke Islamabad.

Di Pakistan, Musharraf mendapat pengajian sekolah Saint Patrick Karachi dan kemudian melanjutkan pendidikannya di Universiti Kristian Forman di Lahore, India.

KERJAYA TENTERA

Pada tahun 1961 iaitu ketika berumur 18 tahun, Musharraf menyertai Akademi Tentera Pakistan (PMA) dan merupakan sebahagian daripada pasukan semasa perang dengan India pada 1965.

Ayah kepada dua cahaya mata itu juga terbabit dengan perang pada tahun 1971 sehingga terbentuknya negara Bangladesh yang sebelum itu dikenali Pakistan Timur.

Kemudian, beliau menyertai pasukan komando dan berkhidmat selamat tujuh tahun dalam pasukan itu.

Selepas itu, Musharraf dinaikkan pangkat sebagai jeneral dan dinamakan sebagai ketua tentera pada Oktober 1989 di bawah Perdana Menteri Nawaz Sharif.

Beliau juga dipercayai memainkan peranan utama menyusup masuk ke Kashmir pada musim panas 1999, sehingga membawa kepada Perang Kargil membabitkan Pakistan-India.

Musharraf menggulingkan Sharif dalam rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah selepas Perdana Menteri itu cuba menyingkirkannya yang kemudian kuasa jawatan sama dipindahkan kepada beliau.

Pada 12 Oktober 1999, semasa Musharraf berada di luar negara, Sharif dikatakan cuba menghalang pesawat membawa beliau mendarat di lapangan Karachi, namun dilaporkan telah gagal dan membawa kepada penyingkirannya.

IMEJ SEDERHANA

Musharraf (kanan) dan Presiden Nawaz Sharif. - Agensi


Musharraf dikatakan pemimpin diktator yang bersederhana sehingga membawa kepada peningkatan pelaburan asing selama pemerintahannya antara tahun 1999 dan 2008 sebagai Perdana Menteri Pakistan.

Beliau juga menunjukkan minat menormalisasi hubungan dengan India dan semasa Sidang Kemuncak Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC) pada tahun 2004 di Islamabad apabila Musharraf bersama-sama dengan Perdana Menteri India, Atal Bihari Vajpayee, memberikan kenyataan membincangkan mengenai lapan isu, termasuk Kashmir dan keganasan.

Pada masa sama, beliau menjalinkan kerjasama dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton ketika menggempur militan Taliban yang didakwa melancarkan serangan maut semasa insiden 11 September 2001 di New York.

CABARAN PEMERINTAHAN

Beberapa tindakan keganasan besar-besaran berlaku ketika pemerintahan Musharraf. Serangan ke atas Masjid Merah di Islamabad pada Julai 2007 menyebabkan 102 orang terbunuh dan mencetuskan penentangan kumpulan militan terhadapnya selain serangan bunuh diri.

Dalam tempoh yang sama beliau memegang dua jawatan awam dan tentera tertinggi telah menyaksikan golongan elit mengkritik tindakannya yang sekali gus mencemarkan reputasinya.

Beberapa insiden cubaan membunuh Musharraf telah gagal pada 2003 yang menyasarkan konvoinya dengan meletakkan bom di jambatan dan bom kereta sehingga menggambarkan dirinya sebagai ‘kucing mempunyai sembilan nyawa’.

Akhirnya pada Ogos 2006, Musharraf meletakkan jawatan selepas pakatan pemerintah bersetuju melancarkan prosiding pemecatan terhadapnya dan lari ke Dubai.

Walaupun begitu, Musharraf pernah cuba untuk kembali menyertai politik sejak berada di London pada 2012, tetapi ia berakhir apabila beliau didapati kehilangan kelayakan kerana kekurangan sokongan.

Pernah sekali, beliau disabitkan secara absentia atas tuduhan melakukan pengkhianatan dan dijatuhkan hukuman mati tetapi pada Januari 2020, mahkamah khas yang mengeluarkan hukuman itu telah didapati tidak mengikut Perlembagaan dan sabitannya telah dibatalkan.

Pada penghujung tahun 2018, kesihatan Musharraf dikatakan semakin merosot dengan cepat disebabkan oleh penyakit amyloidosis sehingga menyebabkan beliau terpaksa mendapatkan rawatan di Dubai dan akhirnya meninggal dunia di sana. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca