MUSIM Monsun Timur Laut sepatutnya sudah menghampiri episod terakhir dan berada di tahap keenam namun luruan monsun sekali lagi berlaku sehingga membawa hujan lebat berterusan mengakibatkan musibah banjir.
Bencana ini telah melumpuhkan dan menjejaskan kelangsungan hidup rakyat di beberapa buah negeri di Malaysia.
Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban melaporkan cuaca buruk dengan hujan lebat kini dijangka sudah pun di peringkat akhir namun ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan kemungkinan bencana banjir dan hujan lebat akan berterusan hingga April depan.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah menjelaskan pada pertengahan Mac ini Monsun Timur Laut diramalkan tamat sebelum berlaku tempoh peralihan ke Monsun Barat Daya.
Bagaimanapun, selagi Monsun Timur Laut belum menutup tirai, Malaysia dan rakyat jelata akan terus terjejas akibat bencana banjir dan hujan lebat.
Musim Monsun Timur Laut telah bermula pada 7 November 2022 dan dijangka berakhir pada Mac ini.
Namun MetMalaysia menjangkakan kejadian ribut petir dan hujan akan terus berlaku ketika proses peralihan Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya sekitar April depan.
Sehubungan itu, Helmi menasihatkan agar rakyat memberi perhatian serius terhadap ramalan cuaca terkini yang dilaporkan MetMalaysia dari masa ke masa.
Ini disebabkan keadaan cuaca terkini di beberapa negeri terutama Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan agak tidak stabil dan hujan sangat lebat tahap bahaya dijangka boleh berlaku.
Justeru rakyat perlu mengambil langkah berhati-hati demi keselamatan diri dan keluarga masing-masing.
Sementara itu, Malaysia Nanban melaporkan akibat kejadian hujan lebat sejak 28 Februari lalu, sebanyak 14 sungai di Selangor, Johor dan Pahang telah mengalami fenomena air pasang tinggi sehingga melepasi paras amaran bahaya.
Di Johor sahaja sejumlah 12 sungai telah menyaksikan kenaikan air yang melepasi paras bahaya antaranya Sungai Segamat, Sungai Labis, Sungai Kahang, Sungai Skudai, Sungai Pulai dan Sungai Johor.
Paras air Sungai Sembuh, Hulu Langat juga sudah mencecah sehingga 32.29 meter (m) manakala sungai di Rompin, Pahang telah mencatatkan 46.59m.
Ujar Malaysia Nanban lagi, musibah banjir yang melanda itu begitu teruk sehingga menjejaskan rakyat di selatan tanah air.
Kira-kira 217 buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di 10 daerah di Johor untuk membantu menempatkan mangsa banjir yang kini mencecah lebih 40,000 orang.
Bencana ini juga menyebabkan 89 calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal menduduki peperiksaan tersebut. Mereka terpaksa menjalani semula peperiksaan itu di PPS.
Dalam pada itu, Malaysia Nanban turut mempertikaikan mengenai langkah pelan pemulihan dan pengendalian bencana banjir serta peruntukan yang disalurkan untuk menangani musibah tersebut.
Ini berikutan saban tahun negara dilanda banjir sehingga menjejaskan norma hidup malah meragut nyawa rakyat tetapi sehingga kini penyelesaian yang muktamad untuk mengatasi bencana itu masih belum dicapai lagi.
Oleh yang demikian akhbar tersebut mendesak supaya kerajaan bertindak dan melaksanakan pelan yang tindakan lebih efektif dengan menggunakan teknologi moden bagi mengukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan negara untuk menghadapi bencana alam yang lebih berbahaya pada masa depan dan serterusnya dapat memastikan kemakmuran negara dan rakyat jelata terus terpelihara.
*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor
Klik di sini untuk terus membaca