MUTAKHIR ini, isu kenaikan kos sara hidup dan harga barang terutama barang makanan menjadi perhatian dan memberikan tekanan luar biasa kepada rakyat Malaysia. Isu ini bukan terpencil atau remeh, bahkan tahun lalu dan awal tahun ini, acap... Klik di sini untuk terus membaca

MUTAKHIR ini, isu kenaikan kos sara hidup dan harga barang terutama barang makanan menjadi perhatian dan memberikan tekanan luar biasa kepada rakyat Malaysia.

Isu ini bukan terpencil atau remeh, bahkan tahun lalu dan awal tahun ini, acap kali saya menjelaskan isu ini boleh menjadi bom jangka, kelihatan sudah mula meletup dan kesannya amat dirasai rakyat Malaysia apabila semakin bertambah barangan khususnya makanan yang mana berlaku peningkatan harga secara mendadak.

Data Peniaga Pasar Basah Kuala Lumpur yang diterbitkan salah sebuah akhbar menunjukkan pelbagai jenis sayur naik harga secara mendadak. Tidak kelihatan tanda-tanda harga akan turun dan ia mungkin meningkat lagi khususnya beberapa bulan akan datang.

Disebabkan harga barang yang meningkat secara mendadak, ia turut memberikan kesan kepada sebahagian peniaga yang kekurangan pelanggan dan keuntungan disebabkan kuasa membeli orang ramai mengecil.

Oleh demikian, kerajaan dicadangkan supaya menyenarai dan mengemas kini semua harga bahan mentah di pasaran melalui medium rasmi kementerian yang mudah diakses rakyat sama ada yang tinggal di bandar atau luar bandar untuk dijadikan panduan semasa membeli.

Selain itu, kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan barangan import dan meningkatkan pengeluaran dalaman. Antara langkah yang perlu diambil adalah dengan memperluaskan program agropreneur dengan memberikan peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia terlibat dalam sektor pertanian terutama orang muda.

Menerusi program ini, tanah milik kerajaan yang bersesuaian disewakan secara percuma selama dua tahun dan boleh diperbaharui tempoh penyewaan untuk mengusahakan tanaman berasaskan sayuran. Cara ini sekali gus mampu menampung keperluan makanan rakyat Malaysia sekiranya berlaku krisis luar biasa.

Inisiatif ini juga boleh melibatkan pihak universiti terutamanya Universiti Putra Malaysia bersama pihak industri.

Semasa Belanjawan 2023 baru-baru ini, kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan dua mata peratusan bagi kumpulan berpendapatan sederhana (M40).

Namun, dalam masa yang sama kita sedang menanti berita Kadar Dasar Semalaman (OPR) mungkin akan dinaikkan lagi selepas empat kali tahun lalu.

Jika OPR dinaikkan lagi, maka berlakunya peningkatan bayaran balik pinjaman yang akhirnya lebihan pendapatan selepas pengurangan kadar cukai itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman. Akhirnya, tidak juga dapat membantu menampung kos sara hidup yang meningkat.

Di musim sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi, rata-rata ibu bapa terkesan dengan kenaikan harga barangan persekolahan. Harga kelengkapan persekolahan naik mendadak disebabkan kenaikan kos pembuatan seperti kain kapas dan poliester.

Sungguhpun kerajaan telah memberikan Bantuan Awal Persekolahan berjumlah RM150 setiap pelajar, namun jumlah itu masih tidak dapat menampung sepenuhnya perbelanjaan persekolahan. Disebabkan itu, peranan universiti dan industri amat penting untuk turut membantu memberikan bantuan tambahan persekolahan anak-anak.

Sebagai contoh, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM dengan kerjasama erat bersama QSR Brands (M) Holdings Bhd baru-baru ini telah melaksanakan Program Penyerahan Bantuan Kelengkapan Persekolahan Pelajar Asnaf.

Setiap pelajar asnaf memperolehi kelengkapan persekolahan sebanyak RM150 dan jumlah agihan keseluruhan untuk bantuan kelengkapan persekolahan ialah sebanyak RM64,500 melibatkan 430 pelajar.

QSR Brands (M) Holdings Bhd merupakan salah salah contoh industri yang telah memainkan peranan penting dalam membantu rakyat khususnya kumpulan asnaf untuk meringankan beban mereka.

Oleh demikian, kerjasama antara universiti dan industri perlu dipertingkatkan melalui pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban ditanggung rakyat rentetan kenaikan kos sara hidup yang meningkat secara mendadak.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca