SHAH ALAM - Masih ramai pengguna tidak tahu membezakan antara produk nanoteknologi tulen dengan tidak disahkan.
Presiden Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata, ini kerana penggunaan nanoteknologi dianggap baharu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Justeru, ujarnya, menjadi tanggungjawab Fomca untuk memberi kesedaran berhubung keperluan membuat semakan senarai produk yang disahkan di bawah Program Nanoverify.
"Bagi Fomca, keselamatan dan perlindungan pengguna merupakan perkara paling penting. Kita nak pastikan bahan yang terdapat dalam sesuatu produk itu selamat digunakan.
"Kami bertanggungjawab meyakinkan pengguna beli produk disahkan ada (bahan) nano,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, Fomca mengambil inisiatif menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat pensijilan nanoteknologi Malaysia, NanoVerify bagi mengelakkan pengguna terpedaya dengan dakwaan sesetengah pengeluar yang mendakwa menggunakan bahan nano.
Menurut Marimuthu, usaha itu penting kerana pengguna Malaysia masih belum mempunyai tahap kesedaran untuk merujuk atau meneliti label-label yang terkandung dalam sesuatu produk.
Tambahnya, syarikat itu berupaya menawarkan penyelesaian yang mampu meyakinkan pengguna melalui produk disahkan di bawah Program Nanoverify.
"Orang ramai boleh mengenal pasti senarai produk yang disahkan melalui semakan di laman sesawang NanoVerify.
"Pengguna juga boleh buat aduan di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) sekiranya mendapati mereka ditipu,” katanya.
Ujarnya, Fomca melalui rakan kerjasama yang lain turut bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan mengenai standard sedia ada di negara ini merangkumi nanoteknologi dan pelbagai standard lain.
"Ini pendidikan jangka masa panjang, lagi pun setiap produk mengandungi pelbagai jenis bahan. Untuk produk nano sendiri, 60 peratus penggunaannya adalah (untuk) bahan kosmetik, produk paling laris dalam kalangan pengguna kerana semua orang nak nampak cantik.
"Sejak awal teknologi ini mula mendapat perhatian ramai, kita dah buat kawal selia kerana tidak mahu masalah lain timbul pada masa akan datang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca