SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menganggap tuntutan beliau kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menunjukkan surat bukti daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menganggap tuntutan beliau kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya menunjukkan surat bukti daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang dikatakan sudah meluluskan usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, sebagai satu kesalahan disiplin.

Sebaliknya beliau menegaskan tuntutan itu dibuat susulan wujud polemik kekeliruan mengenai perkara itu dalam kalangan ahli.

Hal ini memandangkan Ahli Parlimen Bera itu berpendapat masih ramai akar umbi tidak dapat menerima keputusan usul dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

"Tindakan tatatertib untuk kesalahan apa? Ada dua kenyataan yang ahli baca dan buat mereka keliru. Jadi untuk mengelakkan kekeliruan tunjukkan surat. Cadangan itu salah ke?

"Kalau RoS kekalkan keputusan PAU 2022 maka jelaslah keadaan sebenarnya,” katanya dalam satu kenyataan ringkas melalui aplikasi WhatsApp kepada Sinar Premium pada Ahad.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut berpandangan kewujudan dua laporan media berbeza mengenai status keputusan terkini RoS terhadap kelulusan usul tambahan PAU 2022 juga perlu dijawab Ahmad Zahid dengan lebih jelas.

"Saya rasa elok juga kalau dia (Ahmad Zahid) tunjuk surat RoS berkenaan kerana ada dua laporan media berbeza. Satu kata RoS tolak, tapi tidak sampai satu hari kata dah luluskan pula. Semua orang keliru. Saya pun hanya baca laporan media juga,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca